Undian Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 sebentar tadi menyaksikan Malaysia telah diundi dalam kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Ia jelas merupakan bukan laluan mudah buat kem negara kerana memperlihatkan kepada keupayaan Indonesia dan Hong Kong untuk memberikan saingan sengit.

Baca Juga:

Sekiranya semua pasukan menghantar pasukan terkuat dalam saingan yang bakal berlangsung di Qingdao, China pada 11 hingga 16  Februari itu, saingan getir pastinya bakal dihadapi skuad negara.

Dapat dilihat Indonesia serta Hong Kong mempunyai barisan pemain perseorangan yang mantap seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie,Lee Cheuk Yiu dan Angus Ng Ka Long.

Kem negara yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan pula perlu bergantung harap kepada Leong Jun Hao selepas Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong masih lagi belum pulih daripada kecederaan.

Kelebihan di atas kertas bagaimanapun dimiliki Malaysia dalam sektor beregu lelaki, wanita dan campuran dimana pemain-pemain negara memiliki ranking lebih baik berbanding Indonesia dan Hong Kong.

Tambahan beregu utama Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sejak kebelakangan ini sering berdepan masalah untuk berhadapan dengan pasangan dari Malaysia.

Apa-apapun ia hanyalah ramalan sebelum pertandingan bermula dan pastinya menarik untuk menyaksikan persaingan tiga penjuru ini untuk memburu dua slot ke suku akhir BAMTC 2025 itu.

Sejak pertandingan dwitahunan ini mula dipertandingkan pada 2017, Malaysia menamatkan kesemua saingan tersebut di peringkat suku akhir.