Seorang bapa berusia 67 tahun terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing setelah kehabisan wang simpanan untuk melangsaikan hutang anak lelakinya yang kaki judi, lapor Majoriti.
Wong Yock Sang berkongsi kisah dukanya dalam satu sidang media anjuran Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, di Wisma MCA pada Khamis.
Wong menceritakan bagaimana anak lelakinya yang berusia 35 tahun menjadi kaki judi dan meminjam wang dari pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) untuk menampung gaya hidup mewahnya.
“Saya kehabisan wang simpanan untuk melangsaikan hutang RM240,000 pada 2019 kerana dia berjanji untuk berubah. Malah, saya terpaksa mencari kerja sebagai pemandu e-hailing kerana wang simpanan sudah tiada,” katanya.
Selepas semua hutangnya dilangsaikan, anaknya telah dihantar ke pusat pemulihan.
Namun, pada 2 Jun lalu, Wong menerima panggilan daripada anak yang lain memberitahu bahawa ada ah long menghubunginya untuk meminta hutang sebanyak RM12,000 daripada abangnya.
Wong juga mendapati gambar anak dan isterinya disebarkan di Facebook dengan kapsyen ‘dikehendaki’.
Dalam pada itu, Wong turut menerima kiriman mesej WhatsApp mengatakan anak lelakinya berhutang sebanyak RM1,200.
“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa banyak ah long yang dia berhutang. Sukar untuk memutuskan hubungan saya dengan anak saya. Ia menyakitkan hati tetapi saya terpaksa melakukannya,” katanya dengan penuh emosi.
Wong juga telah membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut, namun masa depan keluarga mereka masih tidak menentu dengan bayangan ancaman yang terus menghantui.