Santos melantik Neymar Sr sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu kelab itu berkuat kuasa serta-merta menerusi kontrak awal sehingga penghujung Disember ini.

Kontrak ahli perniagaan berusia 61 tahun itu turut mempunyai klausa pembaharuan automatik bagi tempoh 2027 hingga 2029 sekiranya presiden penyandang, Marcelo Teixeira berjaya memenangi pemilihan kelab yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Menurut sumber laporan Goal, pelantikan itu dilihat sebagai tanda sokongan jelas daripada keluarga penyerang berkenaan terhadap pentadbiran semasa, meskipun Teixeira masih belum mengumumkan secara rasmi pencalonannya bagi pemilihan presiden kelab yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan.

Neymar
Kredit Foto: NELSON ALMEIDA / AFP

Peranan Besar Bapa Neymar Buat Santos

Mengesahkan pelantikan ahli perniagaan berusia 61 tahun itu pada petang Jumaat, kenyataan rasmi kelab menyebut bahawa Neymar Sr akan bekerjasama secara langsung dengan pihak pengurusan dalam menyelia serta menyelaraskan pelbagai bahagian termasuk bola sepak, pemasaran dan usaha perniagaan baharu.

“Selain menjalankan tugas sebagai CEO, Neymar Sr turut akan memegang jawatan presiden Instituto Meninos da Vila yang akan memberi tumpuan kepada usaha mencungkil bakat baharu serta menghubungkan mereka dengan legenda kelab,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum memegang jawatan rasmi dalam lembaga pengurusan kelab, ahli perniagaan itu sebenarnya sudah mempunyai hubungan kewangan yang rapat dengan Santos menerusi agensinya, NR Sports.

Syarikat miliknya baru-baru ini mengatur suntikan dana segera sebanyak R$12 juta (kira-kira £1.6 juta atau AS$2.1 juta) bagi membolehkan Santos melunaskan hutang tertunggak kepada kelab Perancis, AS Monaco sekali gus membolehkan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan FIFA ditarik balik.

Bantuan yang nyata cukup bermakna dapat membantu kelab tersebut daripada terus terperosok ke tangga bawahan saingan liga.

Neymar
Kredit Foto: Gilson Lobo / AGIF via AFP

Sebagai balasan terhadap bantuan kewangan tersebut, pihak pengurusan Santos menyerahkan ruang penajaan pada jersi pasukan yang kemudiannya dijual kepada pihak komersial.

Selain itu, NR Sports bersama beberapa rakan korporat lain turut membantu membiayai projek bernilai kira-kira £1.8 juta atau $2.3 juta) bagi menaik taraf tiga permukaan padang di Vila Belmiro dan pusat latihan kelab.

Projek berkenaan melibatkan kos sebanyak R$4.5 juta (kira-kira £600,000 atau $780,000) bagi setiap padang.

Sumber