Santos secara rasmi terlepas daripada sekatan perpindahan FIFA selepas agensi keluarga Neymar, NR Sports tampil dengan bantuan kewangan buat kelab berkenaan.
Suntikan dana tersebut membolehkan kelab Brazil itu melangsaikan hutang tertunggak berjumlah £1.7 juta kepada Monaco berkaitan perpindahan Jean Lucas.
Keadaan itu sekali gus membolehkan mereka mendaftarkan pemain baharu dalam usaha menjauhkan diri daripada ancaman penyingkiran.
Susulan bantuan penting diberikan NR Sports itu, terdapat balasan bakal dijanjikan Santos sebagai tanda terima kasih.
Menurut sumber laporan Goal, pengurusan kelab mengesahkan penarikan sekatan perpindahan tersebut menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis.
Keluarga Neymar ‘Selamatkan’ Santos
Menjelaskan penyelesaian kewangan berkenaan dalam kenyataan rasmi mereka, Santos berkata:
“Santos FC telah menyelesaikan sekatan perpindahan dan kini kembali bebas untuk beroperasi dalam pasaran perpindahan pemain. Urusan tersebut dapat direalisasikan hasil sokongan NR Sports, yang membolehkan kelab menerima suntikan kewangan serta-merta.”
“Sebagai balasan, Santos FC dan syarikat berkenaan akan bersama-sama merundingkan ruang penajaan jersi yang masih belum dikomersialkan.”
Langkah kecemasan bantuan keluarga Neymar itu dibuat bagi menangani krisis dalaman skuad yang serius, selain mengurangkan tekanan terhadap kelab yang masih menanggung jumlah hutang dianggarkan mencecah £13 juta.
Penarikan sekatan FIFA tersebut membolehkan Santos meneruskan usaha mendapatkan bekas pemain tengah Juventus, Arthur Melo, yang dikenal pasti sebagai sasaran utama kelab.
Pemain tengah itu dijangka memberikan impak segera kepada pasukan dalam usaha mereka menjauhkan diri daripada ancaman penyingkiran dalam saingan domestik.
Santos ketika ini berada di kedudukan ke-14 dengan 26 mata, hanya dibezakan dua mata dengan zon penyingkiran.