Neymar mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa selepas Brazil tersingkir daripada Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Dua jaringan Erling Haaland sudah memadai untuk membawa Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Brazil 2-1.
Neymar sempat menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-10 masa kecederaan babak kedua bagi menghadiahkan gol sagu hati buat Brazil, namun ia menjadi sentuhan terakhirnya bersama Selecao.
Neymar Umum Persaraan
Beliau turut muncul sebagai pemain kedua Brazil yang menjaringkan gol dalam empat edisi Piala Dunia berbeza (2014, 2018, 2022 dan 2026) sekali gus menyamai pencapaian legenda, mendiang Pele.
Neymar yang dimasukkan sebagai pemain gantian dengan sorakan gemuruh penyokong, mengakhiri karier antarabangsanya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 80 gol.
Hanya Cafu (142 penampilan) mempunyai lebih banyak penampilan bersama skuad kebangsaan berbanding Neymar yang mengumpul 130 penampilan.
Pemain berusia 34 tahun itu bergelut dengan masalah kecederaan menjelang Piala Dunia dan hanya sempat membuat dua penampilan sebagai pemain gantian, termasuk ketika menentang Scotland dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. Kini, beliau memutuskan untuk menamatkan karier di pentas antarabangsa.
“Saya sudah mencuba, saya sudah berusaha. Kini semuanya sudah berakhir,” ujar Neymar menurut sumber laporan Bein Sports.
“Saya bermula di sini dan saya juga mengakhirinya di sini.”
Brazil turut mensia-siakan peluang terbaik apabila sepakan penalti Bruno Guimaraes pada babak pertama berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.
Endrick yang turut dimasukkan sebagai pemain gantian, juga gagal memanfaatkan peluang satu lawan satu yang sepatutnya menghasilkan gol.
Kekalahan itu menyaksikan Brazil tersingkir seawal pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak 1990 apabila mereka disingkirkan Argentina. Sebelum ini, Brazil sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam lapan edisi Piala Dunia berturut-turut.