Neymar mengakui bahawa perasaan gemuruh menguasai dirinya ketika kembali menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil selepas hampir seribu hari berehat daripada aksi bola sepak antarabangsa.

Bintang Santos itu diturunkan pada separuh masa kedua dalam kemenangan 3-0 ke atas Scotland, sekali gus menamatkan tempoh pemulihan yang panjang susulan kecederaan lutut serius yang dialaminya pada 2023.

Selepas lebih tepat lagi selama 981 hari menyepi dan melalui pelbagai detik penuh ketidakpastian, Neymar akhirnya kembali menyarung jersi keramat Brazil di pentas Piala Dunia.

Kali terakhir Neymar mewakili negaranya ialah pada Oktober 2023, apabila dia mengalami kecederaan koyakan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan meniskus pada lutut kiri ketika menentang Uruguay.

Pemain sayap lincah itu yang memulakan perlawanan menentang Scotland di bangku simpanan di bawah kendalian Carlo Ancelotti, dimasukkan ke padang pada minit ke-75 perlawanan di Hard Rock Stadium, Miami.

Neymar Akui Gugup

“Jantung saya berdegup kencang, saya sangat gementar… tetapi gembira! Saya berasa bangga, semuanya berjalan lancar,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

“Saya sangat gembira kerana dapat menyarung semula jersi skuad kebangsaan selepas tiga tahun. Dari segi fizikal, saya berada dalam keadaan yang baik, syukur kepada Tuhan.”

“Memang sukar apabila terpaksa berehat begitu lama, tetapi saya tidak pernah berhenti sepenuhnya. Saya telah berlatih bersungguh-sungguh selama 25 hari untuk memastikan saya berada pada tahap terbaik bagi menghadapi perlawanan.”

“Jadi, saya benar-benar gembira dan berpuas hati.”

“Ia adalah campuran pelbagai emosi ketika saya melangkah masuk ke padang. Sudah terlalu lama saya tidak menyarung jersi ini dan kembali bersama skuad kebangsaan. Namun, syukur kepada Tuhan, semuanya berjalan lancar dan saya akhirnya berjaya kembali.”

Dalam masa sama, pemain itu turut menekankan betapa pentingnya sokongan yang diterimanya daripada insan-insan terdekat sepanjang proses pemulihan.

“Mereka tahu segala yang saya lalui, semua cabaran yang terpaksa saya hadapi untuk berada di sini hari ini. Matlamat kami adalah untuk mewakili skuad kebangsaan dan kembali beraksi.”

“Sangat menyentuh perasaan melihat mereka berada di sana, begitu teruja dan gembira dengan kepulangan saya,” tambah Neymar lagi.

 

Sumber