‘Dari Sekinchan ke silikon’ inilah luahan hasrat Nurul Izzah Anwar dengan kehadiran semula pencipta cip USB Flash pertama dunia iaitu Pua Khien Seng yang berjaya menubuhkan syarikat mikrocip di Malaysia.
Memetik dari hantaran beliau di akaun Facebook rasminya, Pua yang berjaya mengubah landskap penyimpanan data global kini melancarkan sebuah syarikat reka cipta Mikrocip dan teknologi storan data canggih dengan nama MaiStorage.
Syarikat ini dilancarkan dengan komitmen pelaburan RM100 juta dan pemindahan teknologi bernilai kira-kira RM1 bilion. Ia menyasarkan untuk disenaraikan melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) menjelang 2028.
Phison Electronics ditubuhkan di Taiwan oleh Pua setelah usahanya membangunkan hab mikrocip di Malaysia tidak berhasil pada tahun 1999.

Kegagalan ini disebabkan oleh halangan birokrasi, dasar yang tidak menggalakkan, serta ekosistem yang belum bersedia. Kini, beliau kembali dengan tekad untuk menyumbang semula kepada pembangunan industri teknologi negara.
Tidak mahu berlaku penghijrahan bakat Malaysia ke luar negara, beliau sedia menawarkan gaji yang kompetitif di mana graduan baharu akan menerima gaji permulaan RM6,000, manakala jurutera berpengalaman boleh mencapai gaji lima angka.

Berdasarkan semakan di Jobstreet, memang benar MaiStorage telah mula membuka peluang pekerjaan dengan gaji yang cukup lumayan mengikut kepakaran bidang tertentu.
Antara yang jawatan yang ditawarkan seperti berikut:-
1. Jurutera Perisian: RM4,000 – RM6,000 sebulan
2. Jurutera Perisian Tegar: RM6,000 – RM8,000 sebulan
3. Jurutera AI: RM6,000 – RM8,000 sebulan
4. Intern Pemasaran: RM1,200 – RM1,500 sebulan
Dalam pada itu, Nurul Izzah Anwar juga memberi sokongan usaha beliau dengan menghubungkan kepada ekosistem dasar dan agensi dan kementerian yang relevan seperti Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).
Hal ini kerana hasratnya yang mahu menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.