Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya telah dihubungi beberapa ‘nama besar’ yang ingin menggantikan tempat Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Setakat ini, bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo antara salah satu calon yang berada dalam radar badan induk itu.

Baca Juga:

“Ada beberapa nama besar yang hubungi FAM selepas Pan-gon tinggalkan kita dan salah seorangnya ialah Hang-seo. Saya sahkan perkara itu, tetapi nama-nama lain biarlah dahulu dan kita akan buat pilihan terbaik,” katanya kepada pihak media.

Menurut Hamidin, antara kriteria jurulatih yang diperlukan adalah memahami kualiti pemain dan memiliki pengetahuan berkaitan musuh Harimau Malaya.

“Kita akan buat ‘kerja rumah’ dahulu kerana kita kena ambil jurulatih yang faham kualiti.

“Musuh kita ASEAN dan Asia, kita bukan nak lawan Brazil atau Jerman, kita belum sampai ke situ. Jadi orang ini mesti memahami mengenai pemain dan musuh kita.

“Piala AFF dan terutamanya tahun depan ada kelayakan Piala Asia, jadi jurulatih mesti ada pengetahuan itu. Ada ramai, saya akan senarai pendek dan dapatkan pasukan untuk membuat analisa, namun kita tunggu prestasi Pau Marti dulu,” jelasnya.

Prestasi Pau Marti sebagai pengendali sementara Harimau Malaya akan dinilai oleh FAM melalui dua kejohanan terdekat iaitu Pestabola Merdeka 2024, September depan serta kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 hujung tahun ini.

FAM juga berjanji akan mencari jurulatih terbaik dengan mendapat nasihat daripada pakar teknikal termasuk dari luar.

“Saya akan cari selepas ini jurulatih yang lebih baik daripada Kim Pan Gon. Itu janji saya kepada peminat,” kata Hamidin