Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyatakan Malaysia masih mempunyai bekalan minyak mentah yang mencukupi.

Menurut beliau, penghantaran bagi hampir 40 peratus import minyak mentah negara adalah melalui Selat Hormuz, berbanding hampir 90 peratus import bagi negara ASEAN lain, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak Malaysia juga terkesan daripada kenaikan harga minyak.

“Sejak 2014 hingga 2015 lagi, sudah ada penerimaan hakikat bahawa Malaysia menjadi pengimport bersih (minyak mentah). Perkara itu sudah diumumkan oleh kerajaan.

“Susulan adanya pengeluaran tenaga dan kita pengeksport tenaga bersih, ada keyakinan kita masih ada bekalan berbanding rakan-rakan ASEAN lain yang mungkin bergantung pada import melebihi 90 peratus.

“Tetapi tidak ada kemungkinan kita sebagai satu pasaran pengguna adalah terlindung sepenuhnya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi,  sistem penapisan PETRONAS memerlukan kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari untuk memenuhi keperluan bahan api negara.

Hampir separuh daripada keperluan itu perlu diimport, dan sebahagian besar bekalan berkenaan dihantar melalui Selat Hormuz.

Sumber