Bekas penyanyi One Direction, Liam Payne ditemui mati di luar sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina selepas terjatuh dari balkoni biliknya di tingkat tiga menurut laporan Reuters.

Polis Argentina mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan. Mereka dipanggil ke hotel di kawasan kejiranan Palermo di ibu negara dimana mereka dimaklumkan tentang “lelaki agresif yang mungkin berada di bawah kesan dadah dan alkohol.”

Baca Juga:

Pengurus hotel berkata dia mendengar bunyi yang kuat di belakang hotel, dan apabila polis tiba, mereka mendapati seorang lelaki telah terjatuh dari balkoni di dalam biliknya, kata kenyataan itu.

Paramedik yang tiba di tempat kejadian turut mengesahkan kematian penyanyi Britain berusia 31 tahun tersebut.

“Kami sangat sedih mengetahui kematian tragis Liam Payne hari ini. Dalam masa yang sukar ini, hati kami tetap bersama keluarga, orang tersayang dan peminatnya,” kata MTV di X.

Label rekod Payne, Republic Records, mahupun pemiliknya Universal Music Group (UMG.AS), enggan mengulas mengenai kejadian itu.

Berita tersebut telah mengejutkan peminat dari seluruh dunia dan ada juga yang sempat berkongsi video detik terakhir Liam Payne bersama teman wanitanya.

Video itu dimuat naik di media sosial dalam masa 1 jam sebelum disahkan maut.

Kemasyhuran global Payne meningkat ketika menjadi sebahagian daripada kumpulan pop, One Direction yang telah dibubarkan, bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Kumpulan itu bermula selepas menduduki tempat ketiga dalam rancangan pertandingan muzik X Factor versi British pada 2010, namun kumpulan itu berpecah pada 2016 kerana ahlinya meneruskan projek berbeza termasuk kerjaya solo.

One Direction telah disenaraikan sebagai penyanyi berkumpulan lelaki ketiga terhebat sepanjang zaman oleh Entertainment Weekly pada tahun 2024. Menurut laporan media UK, One Direction dan kerjaya solo Payne membantu memperoleh nilai bersih kira-kira $70 juta.