Bekas penyerang Arsenal, Jay Emmanuel-Thomas ditahan oleh Agensi Jenayah Nasional Scotland (NCA) berkaitan rampasan 60 kilogram dadah jenis kanabis bernilai 600,000 pound (RM3.34 juta) di lapangan terbang Stansted.

Pemain 33 tahun itu, yang kini bersama kelab divisyen dua Scotland, Greenock Morton, ditahan oleh pegawai-pegawai NCA pada Rabu dalam operasi bersama polis Scotland.

Baca Juga:

“Seorang lelaki ditahan oleh Agensi Jenayah Nasional di Scotland semalam berkaitan rampasan 60kg kanabis di Lapangan Terbang Stansted awal bulan ini, dan didakwa.

“Jay Emmanuel-Thomas, 33, dari Cardwell Road, Gourock, ditahan dan disiasat oleh pegawai-pegawai NCA selepas dadah bernilai 600,000 pound (RM3.34 juta) ditemui oleh pegawai Pasukan Sempadan pada 2 September,” kata NCA dalam satu kenyataan.

Emmanuel-Thomas bakal didakwa di Mahkamah kerana menyeludup dadah kelas B dan kini berada dalam tahanan.

Penyerang Inggeris itu adalah lulusan akademi Arsenal tetapi hanya membuat lima penampilan untuk kelab berkenaan. Dia juga pernah bersama Bristol City dan Queens Park Rangers.

Kelabnya, Greenock Morton turut mengumumkan penamatan kontrak pemain itu serta-merta selepas disahkan ditahan oleh pihak berkuasa.

“Greenock Morton FC sahkan kontrak Jay Emmanuel-Thomas telah ditamatkan serta-merta. Kelab tidak akan memberi sebarang komen mengenai perkara ini,” kata kenyataan rasmi kelab tersebut.