Bekas pertahanan England, Ryan Bertrand, mengetuai sebuah konsortium yang mencadangkan pelaburan bernilai £87 juta (sekitar RM500 juta) dalam kelab League One, AFC Wimbledon.
Bertrand, yang pernah beraksi bersama Chelsea, Southampton, Aston Villa dan Nottingham Forest, bekerjasama dengan pakar teknologi Britain, Omar Mir, dalam cadangan pelaburan menerusi syarikat Sloane Street Capital (SSC).
Mir merupakan satu-satunya penyumbang dana bagi cadangan pengambilalihan saham minoriti tersebut.
Menurut cadangan yang dibentangkan kepada ahli Dons Trust pada Rabu, SSC akan melabur £16 juta (sekitar RM92 juta) pada peringkat awal untuk memperoleh 34 peratus saham AFCW PLC, syarikat yang mengendalikan kelab itu.
Baki £71 juta (sekitar RM408 juta) pula akan disalurkan secara berperingkat sepanjang lima musim sehingga kempen 2030-31.
Jika diluluskan, SSC akan menyelia operasi bola sepak kelab dengan Bertrand bertindak sebagai penasihat kanan bola sepak. Bagaimanapun, pengurusan tersebut masih tertakluk kepada bajet dan proses yang dipersetujui lembaga AFCW PLC.
Menariknya, pelaburan besar ini tidak akan menghapuskan pemilikan penyokong terhadap kelab berkenaan.
Dons Trust kini memiliki 50.01 peratus hak mengundi AFC Wimbledon dan akan mengekalkan majoriti tersebut sekiranya perjanjian dimuktamadkan.
Malah, organisasi penyokong itu turut mengekalkan kuasa veto terhadap nama, lencana, warna jersi, stadium dan perlembagaan kelab. Mereka juga mempunyai kawalan veto terhadap pegangan hak milik tanah stadium Cherry Red Records.
SSC pula akan memperoleh dua daripada 12 kerusi dalam lembaga kelab, selain satu kedudukan pemerhati.
Bertrand berkata sejarah AFC Wimbledon yang dibina oleh penyokong menjadikan kelab itu begitu istimewa, sambil menegaskan konsortium tersebut mahu membantu kelab berkembang tanpa mengubah identitinya.
AFC Wimbledon terkenal dengan kebangkitan semula yang digerakkan penyokong selepas kelab asal Wimbledon berpindah ke Milton Keynes pada 2003, sebelum munculnya MK Dons.
Cadangan pelaburan ini hadir selepas ahli Dons Trust sebelum ini bersetuju membuka ruang kepada pelaburan luar dengan syarat pemilikan dan kawalan penyokong terus dilindungi.
Former Chelsea and England defender Ryan Bertrand leads consortium proposing to invest £87m in AFC Wimbledon for minority stake. Tech expert Omar Mir funding deal through investment vehicle Sloane Street Capital. https://t.co/8e1l8dKyY7
— Sami Mokbel (@SamiMokbel_BBC) October 21, 2026
Lembaga Dons Trust mengesyorkan ahli menerima cadangan tersebut. Namun, keputusan akhir terletak di tangan ahli yang mempunyai sehingga 17 November untuk mengundi.
Jika diluluskan, pelaburan ini berpotensi memberikan suntikan kewangan besar kepada AFC Wimbledon sambil mengekalkan prinsip bahawa penyokong masih mempunyai kuasa menentukan masa depan kelab.