Bekas pengerusi Manchester City, David Bernstein, mengkritik kelewatan dalam menyelesaikan kes 115 pertuduhan yang dikenakan Liga Perdana Inggeris terhadap kelab tersebut.
Bernstein, yang pernah menjadi pengerusi City dari 1998 hingga 2003 dan mengetuai Persatuan Bola Sepak England (FA) dari 2011 hingga 2013, mempersoalkan bagaimana kes berkenaan masih belum menemui penyelesaian selepas proses pendengaran selesai.
Menurut laporan Sunday Times, beliau turut menganggap tindakan Manchester City membelanjakan kira-kira £440 juta dalam jendela perpindahan musim panas ketika kes masih belum diputuskan sebagai sesuatu yang menimbulkan persoalan terhadap sistem peraturan Liga Perdana.
“Untuk mereka melakukan perkara ini dalam pasaran perpindahan dengan latar belakang 115 pertuduhan adalah luar biasa, dan ia seolah-olah memperlekehkan peraturan liga utama England yang sepatutnya menjadi liga paling terurus di dunia,” kata Bernstein.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Liga Perdana memilih untuk meneruskan kesemua 115 pertuduhan tersebut.
“Kenapa liga memutuskan untuk meneruskan kesemua 115 pertuduhan? Ini satu misteri bagi saya.”
Bernstein berpendapat proses itu boleh dipermudahkan dengan memilih beberapa kes yang paling jelas sebagai kes ujian terlebih dahulu.
“Common sense sepatutnya memerlukan proses itu dipermudahkan dengan mengambil beberapa kes terbesar dan paling jelas, kemudian menjadikannya sebagai kes ujian.”
Kes berkenaan bermula selepas Liga Perdana mendakwa Manchester City melakukan 115 pelanggaran peraturan kewangan pada Februari 2023.
Perbicaraan berlangsung selama 12 minggu dan berakhir pada Disember 2024. Bagaimanapun, panel bebas masih belum mengeluarkan keputusan, dengan kompleksiti kes dipercayai menjadi antara faktor kelewatan.
Manchester City menafikan pertuduhan tersebut. Keputusan akhir boleh membebaskan kelab itu daripada pertuduhan atau membawa kepada tindakan disiplin dan hukuman yang berkaitan.
Ketua eksekutif Liga Perdana, Richard Masters, sebelum ini mengakui keputusan kes tersebut mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.