Bekas pengurus Leeds United, Jesse Marsch menjadi calon utama bagi mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan yang baru.

Menurut laporan media negara itu, Persekutuan Bola Sepak Korea (KFA) telah menyenarai pendek enam jurulatih dan nama Marsch menjadi calon utama bagi menjadi ketua jurulatih baharu pasukan.

Baca Juga:

Pengendali berusia 50 tahun itu memulakan kerjaya kejurulatihan di negara asalnya iaitu Amerika Syarikat pada 2010 apabila dia bekerja selama setahun sebagai penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan Amerika.

Dia kemudiannya bertugas dengan beberapa pasukan Eropah selepas itu, berkhidmat sebagai pengurus untuk Red Bull Salzburg, RB Leipzig dan terbaru bersama Leeds dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2022/23.

Dia tidak mengambil sebarang kerja pengurusan sejak dipecat oleh Leeds pada Februari 2023 kerana prestasi buruk yang ditampilkan oleh kelab itu. Leeds itu menduduki tempat ke-17 dari 20 pasukan yang bertanding dalam carta liga pada masa pemecatan Marsch dan tersingkir ke saingan EFL Championship pada penghujung musim.

Seorang lagi pengurus yang menjadi calon kedua bagi mengendalikan Korea Selatan ialah Senol Gunes yang berasal dari Turkiye.

Senol Gunes

Gunes yang berusia 72 tahun merupakan jurulatih yang lebih senior dengan hampir 25 tahun pengalaman dalam dunia kejurulatihan. Beliau pernah melatih beberapa kelab Turki seperti Trabzonspor dan Besiktas, bersama-sama dengan pasukan kebangsaan Turki.

Dia memenangi Piala Turki dua kali bersama Trabzonspor dan memenangi Super Lig dua kali bersama Besiktas.

Sepanjang tempoh empat tahun dari 2000 hingga 2004 bersama pasukan kebangsaan Turki, dia berjaya membimbing pasukan itu menduduki tempat ketiga dalam Piala Dunia 2002 di mana Turki menewaskan Korea 3-2 dalam perlawanan tempat ketiga.

Gunes juga mempunyai pengalaman kejurulatihan di Korea dimana beliau mengetuai FC Seoul dari 2007 hingga 2009 di mana beliau berjaya menamatkan naib juara Liga K pada 2008.

Jawatan ketua jurulatih telah kosong sejak KFA memecat Jurgen Klinsmann pada Februari selepas gagal dalam temasya Piala Asia 2023 di mana Korea tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Jordan walaupun menurunkan skuad bertaraf bintang yang termasuk pemain yang berpangkalan di Eropah seperti Son Heung-min dari Tottenham Hotspur , Lee Kang-in dari Paris Saint-Germain dan Kim Min-jae dari Bayern Munich.