Satu kejadian telah mengejutkan dunia awal pagi tadi apabila bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah ditembak ketika sedang berucap pada perhimpunan calon di Pennsylvania.

Insiden itu dirakam secara langsung di kaca televisyen dan Trump dilihat berdarah di telinganya sebelum pegawai penguat kuasa undang-undang bersenjata meluru ke arahnya dan membawanya pergi.

Baca Juga:

Calon presiden dari parti Republikan itu dilihat mengangkat penumbuk melaungkan sesuatu kepada rakyat ketika diiringi ke kenderaan oleh Perkhidmatan Rahsia negara.

Bagaimanapun, Trump dilaporkan dalam keadaan selamat dan kini sedang dipantau rapi oleh perkhidmatan rahsia. Mereka sedang siasat motif tembakan dan individu yang terlibat.

Bercakap kepada Al Jazeera, seorang saksi berkata dia bekerja sebagai sukarelawan dan duduk di barisan pertama betul-betul di hadapan Presiden Trump apabila insiden itu berlaku.

“Dia sedang bercakap. Tiba-tiba, kami mendengar “pop, pop, pop”, bunyi seperti bunga api. Kemudian kami menyedari semua Perkhidmatan Rahsia, sekurang-kurangnya empat daripada mereka, melompat ke atas pentas, menolak Trump ke bawah,” katanya.

“Ada orang yang berada di sekeliling mereka di hadapan, mereka semua menunduk ke tanah untuk melindungi diri,” tambah saksi itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai kejadian tembakan tersebut.

Colin Clarke, seorang penganalisis keselamatan di Kumpulan Soufan, telah memberi amaran terhadap insiden itu dan meramalkan Amerika kini sedang melalui musim politik yang sangat berbahaya.

“Ia hanya melambangkan di mana keadaan demokrasi Amerika,” katanya kepada Al Jazeera.

“Kami berada pada tahap yang melampau sekarang apabila orang tidak bersetuju dengan calon politik, mereka akan bertindak seperti ini [tembak].

“Ia adalah hari yang gelap dalam sejarah Amerika tidak kira apa pun fahaman politik anda dan saya fikir kita berada di tempat yang sangat teruk menjelang pilihan raya,” katanya.