Isu pengurusan pelarian di Malaysia kembali mendapat perhatian ramai.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menghentikan sementara proses pendaftaran pelarian.

Langkah ini diambil bagi memberi ruang kepada penstrukturan semula sistem pengurusan melalui program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Langkah Kerajaan Memperkemas Data

Keputusan menghentikan sementara pendaftaran ini dibuat oleh Jemaah Menteri bagi memastikan pengurusan pelarian dilakukan dengan lebih teratur dan berada di bawah pemantauan kerajaan sepenuhnya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni menyatakan bahawa langkah ini penting untuk masa depan keselamatan negara.

“Melalui DPP, kerajaan dapat menguruskan data dengan lebih teratur, termasuk untuk tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan, dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” jelas beliau ketika menjawab soalan di Dewan Negara.

Beliau turut menambah bahawa pendaftaran DPP ini akan melibatkan proses tapisan yang sangat ketat bersama pelbagai agensi penguatkuasaan bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin pada masa akan datang.

Teguran Dan Amaran Kepada UNHCR

‘Bekerjasama Atau Angkat Kaki’ - Tok Mat Beri Amaran Kepada UNHCR
Sumber Gambar: UNHCR

Ketegasan Malaysia turut disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang memandang serius tentang longgarnya proses pemberian kad pelarian oleh pihak UNHCR sebelum ini.

Beliau menyifatkan pejabat UNHCR di negara ini seolah-olah menjadi daya tarikan yang membawa lebih ramai pelarian, terutamanya etnik Rohingya, untuk datang ke Malaysia.

Beliau mendedahkan bahawa ada pemohon yang berani membuat permohonan secara dalam talian ketika masih berada di Myanmar, dan terus datang ke Malaysia semata-mata untuk mengambil kad tersebut tanpa melalui saringan keselamatan yang sepatutnya.

“Kita mahukan kerjasama dan saringan yang ketat. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada pendapat saya, kita patut mempertimbangkan semula kehadiran UNHCR di negara ini supaya kita tidak terus terbeban,” tegas beliau.

Isu ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Kabinet agar satu perjanjian dengan UNHCR dapat disegerakan bagi menetapkan garis panduan yang lebih ketat.

Realiti Dan Cabaran Pengurusan

Walaupun ketegasan kerajaan ini disambut baik demi keselamatan negara, penutupan operasi UNHCR secara drastik mungkin membawa cabaran baharu.

Bekas Ketua Pendidikan UNHCR, Wan Mimi Zarina Wan Azmin, menjelaskan bahawa kehadiran UNHCR selama ini adalah untuk mengisi kekosongan sistem pengurusan pelarian tempatan.

“UNHCR berada di negara ini kerana Malaysia tidak mempunyai sistem untuk mengendalikan dan menguruskan pelarian. Jika Malaysia mempunyai sistem sendiri, UNHCR tidak perlu berada di sini,” kata beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa penutupan pejabat tersebut tidak akan melenyapkan masalah pelarian yang sudah sedia ada di Malaysia, malah beban kewangan puluhan juta ringgit setahun untuk menguruskan data dan sistem mungkin terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan pembayar cukai tanpa bantuan dana antarabangsa.

Sebagai rekod, setakat bulan Februari lalu, Malaysia menempatkan sekitar 215,600 pelarian dan pencari suaka. Majoriti daripada jumlah ini, iaitu seramai 193,824 orang, adalah dari Myanmar, termasuk lebih 64,680 orang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Angka ini membuktikan bahawa isu pelarian memerlukan penyelesaian yang bukan sahaja tegas dari segi undang-undang, tetapi juga teliti dan mampan untuk jangka masa panjang.