Bintang England dan Real Madrid, Jude Bellingham mengakui rasa kesalnya kerana terus bermain dalam keadaan sakit berbanding berhenti lebih awal untuk menjalani pembedahan.

Keadaan yang disifatkan sebagai penyesalan terbesar dalam kariernya dan ia tidak seharusnya berlaku dimana beliau akhirnya menjalani pembedahan pada penghujung musim lalu.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu menyertai Real Madrid dengan kecederaan di bahu kiri dialaminya sejak bersama Borussia Dortmund lagi.

“Pada musim terakhir saya di Dortmund, sejak awal lagi mereka sudah beritahu saya perlu menjalani pembedahan bahu selepas terjatuh dengan teruk.”

“Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena, tetapi ketika itu sekitar Ogos-September dan Piala Dunia berlangsung pada Disember, jadi saya tidak menjalani pembedahan,” ujar Bellingham menurut sumber laporan Marca.

Jude Bellingham Akui Penyesalan Terbesar Dalam Karier, “Saya Tak Sepatutnya Buat Keputusan Itu”
Kredit Foto: Oscar DEL POZO / AFP

Bellingham Beraksi Dalam Kesakitan

Malang menimpanya apabila dalam perlawanan menentang Rayo Vallecano, beliau sekali lagi mengalami kecederaan di bahagian yang sama.

Sejak itu, Bellingham terus bermain bersama Real Madrid dalam keadaan terjejas akibat masalah fizikal tersebut.

“Semuanya bermula pada hari perlawanan menentang Rayo. Itu adalah kesakitan paling teruk yang pernah saya rasai ketika itu, saya tidak pernah merasa sakit sebegitu.”

“Rasanya seperti mengambil masa yang sangat lama untuk memasukkannya kembali ke tempat asal, walaupun sebenarnya hanya 90 saat dari mereka masuk ke padang hingga ia kembali ke tempatnya.”

“Sebelum ini, saya boleh memasukkannya kembali sendiri apabila ia terkeluar,” tambah beliau lagi.

“Semua orang memberitahu saya bahawa saya perlu menjalani pembedahan, tetapi itu adalah tahun pertama saya di Real Madrid dan saya tidak mahu mengecewakan pasukan serta terpaksa berehat selama tiga bulan.”

“Kecederaan bahu itu memberi kesan besar kepada keseluruhan badan saya. Saya tidak rasa sakit yang terlalu teruk, tetapi bermain dengan tahu bahawa jika saya terjatuh, bahu itu boleh terkehel semula membuatkan saya tidak dapat beraksi pada tahap terbaik.”

“Selepas tewas dalam final EURO kepada Sepanyol, saya tidak mahu itu menjadi penampilan terakhir saya untuk tempoh tiga bulan, walaupun itu sebenarnya waktu terbaik untuk menjalani pembedahan.”

“Saya membuat keputusan untuk teruskan bermain setahun lagi dan saya tidak sepatutnya melakukannya.”

“Musim lalu membuatkan saya sedar bahawa saya tidak boleh mengambil mudah peluang untuk menang lagi.”

“Sekarang saya berada dalam keadaan fizikal yang lebih baik dan boleh kembali ke tahap sebenar saya,” ujar Bellingham lagi.

Sumber