Pernah memimpin sebuah syarikat pengedar dengan pendapatan lima angka dan menguruskan 60 orang kakitangan, kehidupan Ade Azhar Ismail berubah apabila perniagaannya berdepan krisis kewangan.
Titik terendah dalam hidupnya hadir apabila akaun simpanan bank hanya berbaki RM33, satu jumlah yang memaksanya keluar daripada zon selesa demi kelangsungan hidup.
Ujian Perniagaan Dan Kehilangan Pasukan

Memetik laporan HM, Hampir 16 tahun bergelar usahawan, Ade tidak pernah bekerja makan gaji. Sejak tahun 2009, beliau membina perniagaan mengedarkan pewangi udara, buku kanak-kanak, serta bahan bacaan ilmiah dan sirah Nabi.
Namun, cabaran dalam industri jualan langsung menyebabkan majoriti pekerja Gen Z meletak jawatan hingga mengakibatkan syarikat beroperasi dalam defisit sejak pertengahan tahun lalu.
Daripada 60 kakitangan, hanya 14 yang masih setia. Mengenangkan nasib pekerja dan kelangsungan syarikat, Ade mengambil keputusan untuk tidak mengambil gaji CEO, sebaliknya memilih untuk menjual nasi lemak menerusi jualan but kereta di Seksyen 9.
“Mulanya memang ada rasa malu nak berdepan adik-beradik, saudara-mara dan kakitangan. Tapi, mengenangkan saya pun datang daripada jualan langsung, perasaan malu itu hilang terutama bila ramai kawan dan pemilik perniagaan lain datang beli tanda sokongan,” katanya.
Rahsia Hari Ke-15
Perjuangan di tepi jalan itu pada mulanya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga. Malah, isterinya hanya mengetahui perkara sebenar pada hari ke-15 kerana Ade mengambil bekalan nasi lemak daripada saudara jauh.
“Hari pertama saya bawa 30 bungkus dan rasa patah semangat dan macam loser juga waktu nak mulakan pada awalnya. Tapi, bila orang datang beli jadi semangat dan bersyukur kerana nasi lemak habis terjual pada hari pertama,” luah bapa kepada seorang anak ini.
Merekrut Pekerja Dan Meluas Empayar
Percubaan berani itu membuahkan hasil apabila keuntungan bulan pertama mencecah RM9,000. Memasuki hari ke-53, Ade mula merekrut pekerja baharu dan meluaskan tapak jualan but kereta ke lima lokasi berbeza.
Kini pada hari ke-81, beliau bersama pasukannya beroperasi dalam dua syif iaitu bermula 8.30 pagi dan 5 petang, dengan membawa sehingga 1,200 bungkus nasi lemak sehari tanpa pernah ada rezeki yang terbuang.
Menganggap ujian ini sebagai teguran Ilahi untuk memperbaiki kesilapan lalu, Ade menitipkan pesanan mesra buat mereka yang sedang diuji.
“Buang rasa malu dan ego, cari jalan keluar daripada masalah. Percayalah, rezeki Allah SWT itu luas dan mulakan dengan pengalaman serta apa yang kita ada.
“Jangan takut untuk mulakan dan Insya-Allah, kita dapat bangkit dan bina semula apa yang kita pernah usahakan dulu walaupun daripada bawah,” katanya.
Boleh tonton video penuh di bawah:-