Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berharap para pemain mampu untuk menampilkan prestasi terbaik apabila turun menentang Oman dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada awal pagi nanti.

Barisan pemain kekurangan minit bermain selepas mereka pulang dari Qatar bagi tugasan Piala Asia 2023 oleh kerana saingan Liga Malaysia yang hanya bermula pada Mei ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perkara ini menimbulkan masalah kecergasan di kalangan pemain dan Pan-gon berharap mereka mampu untuk menampilkan prestasi terbaik meskipun hanya beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang Nepal baru-baru ini.

“Kami berdepan beberapa kerumitan dalam persediaan tetapi semuanya berjalan lancar. Saya harap kami dapat peragakan satu permainan yang menghiburkan. Kami mahu membawa pulang mata ke Malaysia.

“Saya harap pemain berikan aksi terbaik untuk menawarkan kegembiraan di Malaysia. Kami tidak mempunyai minit permainan sebagai persiapan menghadapi perlawanan ini. Malah, pasukan kami belum lengkap ketika kami uji Nepal beberapa hari itu,” kata Kim Pan-gon menurut laporan Astro Arena.

Pasukan negara berpeluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 jika mereka berjaya mencatat dua kemenangan ke atas Oman.

Berdasarkan kedudukan terkini, Malaysia mendahului kumpulan D dengan 6 mata manakala Oman berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia dan Oman pernah bertemu sebanyak enam kali dengan rekod dua kemenangan buat Harimau Malaya dan satu keputusan seri. Namun menariknya, ini pertembungan pertama kedua-dua pasukan di kempen Kelayakan Piala Dunia.