Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva semakin hampir untuk memadam rekod jaringan Liga Super yang dipegang oleh Indra Putra Mahayuddin.

Baru-baru ini, pemain itu menjaringkan lima gol ketika menewaskan pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Bergson Semakin Hampir Pintas Indra Putra

Bagi saingan musim 2024/2025, pemain kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan 31 gol setakat ini sekaligus mencipta rekod baharu untuk satu musim.

Bergson
Bergson

Rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dipegang bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin yang mengumpul 106 gol keseluruhan.

Bergson ketika ini sudah meledak 104 gol, bermakna penyerang kelahiran Brazil itu hanya memerlukan tiga gol sahaja lagi untuk merampas status penjaring terbanyak sepanjang zaman daripada Indra.

Sebelum ini, penyerang berusia 34 tahun itu memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super bagi satu musim selepas meledak 29 gol pada 2022, memadam rekod 26 jaringan yang dilakar bekas penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun pada 2021.

Bergson turut menjadi salah satu pemain yang bakal diberi kerakyatan Malaysia sekaligus boleh beraksi bersama skuad kebangsaan selepas ini.

Bergson
Bergson

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menganggap penyerang JDT itu mampu untuk menambah kualiti Harimau Malaya.

Memetik dari laporan Harian Metro, Peter melihat rekod jaringan pemain itu dalam saingan Liga Malaysia menjadi bukti bahawa beliau mampu untuk menambah sengat serangan pasukan negara.

“Bergson adalah pemain yang mempunyai potensi tinggi. Sebaik sahaja proses naturalisasinya selesai, dia pasti akan memberi impak besar kepada Harimau Malaya,” katanya.

Selain penyerang kelahiran Brazil itu, seorang lagi pemain iaitu pemain sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo turut berada dalam perancangan untuk dijadikan pemain naturalisasi negara.