Bekas ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menegaskan keputusan beliau berhijrah ke Thailand dan menjadi pengendali salah satu kelab di sana merupakan mimpi jadi kenyataan bagi dirinya.

Cheng Hoe secara rasmi dilantik sebagai pengendali baharu Police Tero dimana beliau sudahpun mencatat mata pertama bersama kelab barunya ketika seri menentang Nakhon Pathom dalam saingan liga pada Sabtu lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut laporan The Star, jurulatih berusia 55 tahun itu menegaskan apabila Police berminat mendapatkan khidmatnya, beliau tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran tersebut.

“Selama ini saya mempunyai sasaran untuk meneruskan karier di luar negara. Apabila Police Tero memberikan tawaran, saya terus mengambilnya. Bila lagi tawaran sebegitu akan datang kepada saya?

“Saya tidak berfikir panjang walaupun kedudukan kelab di tangga ke-13, dimana mereka sedang bergelut di zon penyingkiran. Kalau saya berjaya membantu mereka kekal dalam liga, saya mungkin terus di sini. Jika tidak, maka saya akan mencari peluang di tempat lain,” katanya.

Setelah dilantik sebagai pengendali Police Tero, pengamal media di Thailand berasa hairan dengan keputusan Tan Cheng Hoe untuk menyertai kelab tersebut.

Salah seorang wartawan sukan di Thailand iaitu Gian Chansrichawla membangkitkan persoalan dimana beliau berasa hairan mengapa Cheng Hoe menyertai sebuah pasukan yang sedang dilanda masalah kewangan selain bergelut di zon penyingkiran dalam carta liga.

Police Tero sebelum ini dibimbing oleh legenda Thailand, Worrawoot Srimaka selaku pengendali sementara dan dengan kehadiran jurulatih berusia 55 tahun itu, Worrawoot kini menggalas tugas sebagai pengarah teknikal kelab.

Sebelum kehadiran Cheng Hoe, Police Tero hanya mampu meraih lima kemenangan, empat keputusan seri dan 10 kekalahan untuk mengumpul 19 mata.

Selepas berehat hampir lapan bulan susulan keputusannya meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Cheng Hoe telah dilantik menjadi nakhoda baharu Selangor pada 24 September 2022.

Dibawah kendalian beliau, Selangor menamatkan musim 2022 ditangga kelima dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi tewas 1-2 ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Peningkatan terus dapat disaksikan apabila Selangor menamatkan saingan liga 2023 selaku naib juara hingga membolehkan mereka beraksi dalam ACL 2 pada musim ini.