Sejak beberapa hari lalu tular kes buli sehingga mencederakan alat sulit seorang pelajar tingkatan 4 sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar.

Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan kes buli yang berkait dengan hantaran yang tular di media sosial itu.

Baca Juga:

Bagaimanapun perkara tersebut kurang disenangi oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Memetik kenyataan di laman Facebook persatuan itu, tindakan menularkan kes itu di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah itu secara keseluruhan.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4 sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid yang terbabit tidak diubah.

“PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa terbabit di dalam pengurusan sekolah ini. Dalam hal yang berkaitan, PIBG menghormati pendirian pihak sekolah dan Tuan Pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4,” kata kenyataan itu, semalam.

Dalam kenyataan itu juga memaklumkan ada menerima laporan mengenai pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan sekitar bandar ini dan dianggap sebagai pembuli.

“PIBG memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini,” katanya.

Pada masa sama, persatuan itu juga berasa kesal dengan tindakan keluarga pelajar terbabit tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes tersebut.

Persatuan itu berharap kes berkenaan akan memberi pengajaran kepada ibu bapa yang lain agar tidak mencampuri hal sekolah dan berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK.

“Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan Tuan Pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua murid-murid MCKK di masa hadapan,” kata persatuan kebajikan pelajar itu.