Di saat isu kesesakan kantin sekolah sering menjadi keluhan ibu bapa, sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mencuri tumpuan ramai dengan pendekatan yang sangat moden dan sistematik bagi memudahkan urusan waktu rehat murid-muridnya.
Menerusi satu perkongsian yang tular di media sosial, seorang ibu menceritakan pengalaman anaknya yang tidak perlu lagi beratur panjang untuk membeli makanan. Sebaliknya, segalanya dilakukan hanya di hujung jari.
“Semudah Order Di Aplikasi”

Menurut wanita tersebut, budaya di SJKC anaknya itu sangat efisien di mana urusan pesanan makanan dilakukan sepenuhnya menerusi aplikasi khas.
“Beginilah budaya SJKC anak saya. Order makanan dalam apps, bayar. Nanti kantin akan delivery ke kelas masing-masing. Alhamdulillah mudah urusan anak-anak di sini,” tulisnya dalam satu hantaran ringkas namun padat.
Sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa murid untuk makan dan berehat, malah memastikan penjarakan sosial dan kebersihan lebih terjaga memandangkan murid tidak perlu bersesak di ruang kantin yang terhad.
Menariknya terdapat pelbagai seleksi makanan yang menarik dan didakwa akan disertakan sekali dengan buah-buahan seperti tembikai.
Respon Netizen: “Ada Duit, Ada Fasiliti”
Walau bagaimanapun, inovasi ini mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.
Di sebalik pujian yang diberikan terhadap kreativiti pengusaha kantin dan pihak sekolah, ramai netizen mula mengaitkan kecemerlangan fasiliti tersebut dengan komitmen kewangan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Rata-rata netizen berpendapat bahawa sistem seperti ini hanya mampu dilaksanakan jika sekolah mempunyai dana yang kukuh dan kerjasama erat daripada komuniti ibu bapa yang tidak culas membayar yuran sumbangan.
“Bila tengok sistem macam ni, kita dah tahu bayaran PIBG dia mesti tiptop. Ibu bapa bagi kerjasama, sekolah pun boleh buat macam-macam inovasi,” komen salah seorang pengguna media sosial.
“SJKC memang terkenal dengan pengurusan dana yang kuat. Bila semua ibu bapa ‘on board’ dan bayar yuran tanpa banyak alasan, anak-anaklah yang merasa nikmatnya,” tambah netizen lain.
Walaupun timbul perdebatan mengenai faktor dana, tidak kurang juga yang berharap agar sekolah-sekolah kebangsaan (SK) dapat mencontohi model pengurusan seperti ini di masa hadapan.
Inovasi menggunakan aplikasi bukan sahaja memudahkan urusan murid, malah membantu pengusaha kantin menguruskan stok dan pesanan dengan lebih tepat tanpa pembaziran.
Adakah sekolah anak anda sudah mula ke arah digitalisasi seperti ini? Apa pendapat anda, adakah faktor yuran PIBG menjadi kunci utama kecemerlangan sesebuah sekolah?