Baru minggu lalu, pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik dilaporkan berdepan kemungkinan dihantar pulang ke India. Dia dikatakan ditahan di Oman, negara di mana dia dijadualkan menyampaikan ceramah di sana.
Sehingga hari ini (28 Mac), tiada maklumat terkini mengenai pendakwah itu diekstradisi kembali ke India. Ini kerana berita mengenai penahanannya dilaporkan adalah palsu, seperti yang disahkan oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Baca Juga:
- Agensi Risikan India Lapor Zakir Naik Mungkin Ditahan, Bakal Dihalau Balik Ke India
- Zakir Naik Bertaraf Penduduk Tetap, Bukan Warganegara Malaysia
- India Mahu Ekstradisi Zakir Naik Dari Malaysia, Dakwa Jadi Punca Rusuhan Antara Muslim Dan Hindu
Dalam temu bual Harian Metro, Akberdin berkata, Zakir Naik kini masih berada di Oman kerana ada beberapa program dan kuliah berjadual yang masih belum selesai.
Menurut Akberdin, Dr. Zakir Naik dijadual pulang ke Malaysia sejurus selepas beliau menamatkan kuliahnya di Oman. Butiran kepulangannya ke Malaysia bagaimanapun dirahsiakan untuk tujuan keselamatan.
Sebagai tindak balas kepada “penahanannya” di Oman, Akberdin menafikan semua dakwaan dan berkata bahawa keselamatan Zakir di Muscat sentiasa menjadi keutamaan.
“Dia dilayan dengan baik di Muscat. Zakir juga menghantar salam dan mengatakan bahawa dia selamat di sebuah hotel,” tambah Akberdin.
Pada 22 Mac, Zakir Naik mengumumkan ketibaannya di Oman melalui kiriman Instagram. Beliau yang berumur 57 tahun telah menetap di Malaysia sebagai pemastautin tetap setelah menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram, keganasan dan mewujudkan ketegangan agama oleh kerajaan India.
Menurut India Today, pengeboman kafe di Dhaka, Bangladesh yang berlaku pada 2016 didakwa diilhamkan oleh Zakir Naik. Salah seorang pengebom memberitahu penyiasat Bangladesh bahawa dia terpengaruh dengan dakwah Zakir melalui saluran YouTube.
Pada 2018, kerajaan India mahu Zakir diekstradisi kembali ke negara itu malah memohon ekstradisinya, lapor New Straits Times.
Setahun kemudian, Zakir Naik dilarang berucap di Malaysia berikutan kenyataan perkaumannya mengenai orang Cina dan Hindu.
Sehingga hari ini, pendakwah itu masih giat mengemas kini media sosialnya dalam ceramahnya di Omar baru-baru ini.