Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy membayar RM1.52 juta sebagai pampasan kerana memfitnah pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas mendapati pendakwah itu berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan Ramasamy, empat tahun lalu.

Baca Juga:

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir, memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di Nigeria untuk program ceramah sehingga 5 November.

Memetik laporan Harian Metro, Dr Zakir menghadiri prosiding ini secara dalam talian, menerusi aplikasi Zoom.

Dr Zakir memfailkan dua saman berasingan pada Oktober dan Disember 2019, mendakwa Ramasamy yang juga pemimpin DAP mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.

Dr Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai ‘pelarian dari India’.

Pada 11 Ogos 2019, Ramasamy didakwa memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran kerajaan Kelantan diterbitkan portal berita, pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Dr Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

Saman kedua Dr Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.

Dr P Ramasamy diarah membayar nilai pampasan tersebut kepada Dr Zakir Naik dalam tempoh 30 hari.

Sumber