Siapa sangka seorang rakyat Malaysia kini mampu mengatasi gaji individu terkemuka seperti Elon Musk dan Tim Cook di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Hartawan kelahiran Malaysia, Tan Hock Eng atau lebih dikenali sebagai Hock Tan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang menerima gaji paling tinggi di Amerika Syarikat (AS) pada 2023, menurut analisis daripada The Wall Street Journal (WSJ).

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Gaji yang yang diterima Presiden dan CEO syarikat semikonduktor global, Broadcom Inc itu mengatasi CEO firma gergasi lain di AS termasuk Tim Cook (Apple), Elon Musk (Tesla) dan Mark Zuckerberg (Meta).

Laporan analisis daripada WSJ itu menyatakan bahawa Hock Tan menerima ganjaran sekitar $162 juta (~RM760 juta) pada tahun lalu.

Namun ia tidak semudah yang disangka, ganjaran itu bersyarat kerana beliau hanya akan menerima jumlah penuh jika saham syarikatnya itu mencapai paras tertentu menjelang 2025.

Broadcom berkata bahawa gaji Hock Tan juga bergantung kepada pengekalan dalam peranannya selama lima tahun lagi dan menjelaskan bahawa beliau tidak akan mendapat apa-apa lagi ekuiti atau bonus tunai sehingga tempoh itu berakhir.

Saham syarikat semikonduktor itu meningkat 27 peratus tahun ini dan 106 peratus sejak 12 bulan lalu, meningkatkan jumlah permodalan pasarannya kepada $655 bilion (~RM3.07 trilion).

Hock Tan sebelum ini pernah mendahului senarai WSJ pada 2017, apabila beliau diberikan ganjaran sebanyak $103 juta (~RM483 juta).

Menurut analisis WSJ, terdapat dua CEO lain yang turut menerima gaji sembilan angka pada tahun lalu iaitu Nikesh Arora dari Palo Alto Networks dan Steve Schwarzman dari Blackstone.

Difahamkan Arora memperoleh$151 juta (~RM709 juta), kebanyakannya dalam bentuk geran saham meliputi tiga tahun akan datang, manakala Schwarzman yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan sokongan terhadap bekas Presiden AS, Donald Trump memperoleh $120 juta (~RM563 juta).

Saham dalam Palo Alto Networks dan Blackstone masing-masing melonjak 110 peratus dan 54 peratus pada tahun lalu.

Sumber