Acara Regu turut menceriakan kem Malaysia selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mudah menundukkan Myanmar, sebentar tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu menyaksikan Malaysia akan berdepan musuh tradisi, Thailand pada perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam esok.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam satu lagi aksi separuh akhir di gelanggang sebelah, Thailand membuktikan kejaguhan dengan kemenangan 15-4, 15-8 ke atas Filipina.

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun meletakkan kepercayaan kepada Syahir Rosdi (tekong), Ahmad Azlan Alias (perejam) dan Farham Adam selaku pengumpan manakala Mohd Haziq Hairul Nizam dan Shahalril Aiman Halim diletakkan di bangku simpanan.

Manakala lawan mereka terdiri daripada Thant Tu (tekong), Nyein Chan Khin (perejam) dan pengumpan, Ko Ko Zhi. Sementara itu, Aung Kyaw dan Wunna Zaw bertindak sebagai pemain simpanan.

Syahir Rosdi jelas menjadi watak penting pada perlawanan ini dimana beliau mempamerkan variasi servis yang cukup cemerlang untuk memerangkap trio Myanmar.

Servis-servis berkualiti dicipta oleh Syahir telah menghadiahkan banyak mata berharga buat skuad negara untuk mudah meraih kemenangan set pertama 15-3.

Myanmar kemudiannya cuba untuk memberikan saingan lebih sengit pada set kedua tetapi usaha keras mereka tidak langsung mengganggu momentum cemerlang dijelmakan oleh barisan pemain Malaysia untuk mengesahkan kemaraan ke final acara Regu dengan kemenangan 15-11.