Berjaya Food Bhd telah keluar daripada perniagaan Paris Baguette di Malaysia yang mengalami kerugian, selepas menjual keseluruhan 50% pegangan sahamnya dalam Berjaya Paris Baguette Sdn Bhd (BPB) kepada rakan kongsi usaha samanya — Paris Baguette Singapore Pte Ltd (PBS) — pada harga nominal RM1.
Menurut makluman Berjaya Food kepada Bursa Malaysia pada hari Rabu, pelupusan yang selesai pada 30 Jun itu menyaksikan PBS, selaku pemegang francais, mengambil alih pemilikan penuh BPB yang mengendalikan rangkaian bakeri Paris Baguette di Malaysia sejak Januari 2023, petik The Edge Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada transaksi, Berjaya Food dikehendaki menyelesaikan liabiliti (hutang) BPB berjumlah RM3.91 juta. Ini termasuklah obligasi sewa beli kepada Prime Credit Leasing Bhd (anak syarikat syarikat induk utamanya, Berjaya Corporation Bhd) serta komitmen pembayaran yang lain. Semua liabiliti ini telah pun diselesaikan sepenuhnya pada tarikh pelupusan.
Berjaya Food menjelaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada rancangan syarikat untuk keluar terus daripada perniagaan Paris Baguette, yang mencatatkan kerugian sejak ia dilancarkan di Malaysia.
Kedudukan Kewangan dan Impak
Sehingga 31 Disember 2025, BPB telah mengumpul kerugian selepas cukai (tidak diaudit) sebanyak RM67.09 juta dan merekodkan liabiliti bersih berjumlah RM33.41 juta.
Pihak Berjaya Food menyatakan harga jualan RM1 itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan liabiliti bersih BPB serta tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang-hutang tertunggak tersebut.
Sejak ia ditubuhkan pada Julai 2022, Berjaya Food telah melabur sebanyak RM20 juta dalam usaha sama berkenaan, dan jumlah modal itu kini dikira telah terjejas sepenuhnya (fully impaired).
Dengan selesainya pelupusan ini, BPB bukan lagi syarikat usaha sama Berjaya Food, sekali gus menghentikan risiko kumpulan terhadap kerugian berterusan jenama bakeri tersebut. Langkah ini juga membolehkan Berjaya Food mengalihkan semula sumber dana dan fokus pihak pengurusan kepada perniagaan teras mereka serta peluang pertumbuhan yang lain.
Syarikat menambah bahawa penjualan ini tidak akan memberi kesan ketara kepada perolehan, aset bersih atau kedudukan gearing (nisbah hutang) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026).