Tindakan seorang pemilik rumah yang menyediakan ‘bilik sewa’ di ruang tamu dengan hanya menggunakan pembahagi ruang (partition) pejabat pada kadar sewaan RM280 sebulan mencetuskan kecaman pelbagai pihak di media sosial.

Isu tersebut tular selepas dikongsikan oleh seorang pengguna platform X.com @kamaghul yang mempersoalkan tahap keselesaan serta privasi ruang berkenaan.

“Keras hidup sekarang. RM280 ni sewa bilik ke atau sewa kotak? Dengan partition office kau buat macam bilik sewa. Asal benda jadi duit je ni,” tulisnya menerusi hantaran berkenaan.

Menerusi tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp yang dimuat naik, pemilik rumah memaklumkan bahawa kesemua bilik sedia ada telah pun penuh diisi penyewa lain.

Namun, bahagian ruang tamu yang berhadapan dengan tangga telah diubah suai secara ala kadar menggunakan pembahagi pejabat berketinggian separuh untuk diletakkan sebuah katil bujang.

Dalam perbualan berkenaan, pemilik rumah turut mempromosikan beberapa kemudahan lain bagi menarik minat bakal penyewa:

“Ruang tamu di bawah saja ada. Bilik dah penuh. RM280,” kata pemilik rumah tersebut.

“Parking dalam pagar boleh masuk 2 kereta. Bawah 1 toilet, atas 1 toilet. Setakat sekarang semua penyewa pakai motor. Dah penuh luar boleh park. Berminat ke?” tambahnya lagi.

Perkongsian itu mendapat perhatian meluas daripada warganegara yang rata-ratanya menyifatkan tindakan pemilik premis berkenaan sebagai melampau dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kebajikan serta privasi penyewa.

Rata-rata netizen turut meluahkan keprihatinan terhadap isu penyewaan bilik mikro yang semakin tidak terkawal, serta mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau lebih ketat spesifikasi pengubahsuaian bilik sewa.