Park Bom, bintang K-pop, mencetuskan kekecohan apabila beliau didakwa memfailkan tuntutan mahkamah terhadap bekas CEO YG Entertainment, Yang Hyun-suk.

Tuntutan itu menjadi tumpuan utama kerana jumlahnya yang tidak masuk akal, mencecah $4.5 kuadrilion—satu angka yang jauh melebihi KDNK Korea Selatan.

Gambar dakwaan saman yang dimuat naik oleh bintang K-pop itu di Instagram telah tular, namun hantaran tersebut dipadam tidak lama kemudian sebelum sebarang pengesahan rasmi dibuat.

Memetik laman Mint, Bekas anggota 2NE1 itu mendakwa label muzik berkenaan atas tuduhan penipuan dan penggelapan wang.

Beliau juga menuntut bayaran kerana mendakwa tidak menerima keuntungan jualan album dan bayaran yuran persembahan, selain beberapa dakwaan lain.

Kini, beliau diuruskan oleh D-Nation Entertainment, syarikat yang disertainya pada tahun 2018.

Dalam hantaran Instagram yang kini telah dipadam, penyanyi K-pop itu membuat dakwaan yang amat mengejutkan, dengan kenyataan: “Kepada rakyat Korea, sila siasat apa yang YG Entertainment lakukan kepada Park Bom secara tepat.”

Beliau turut berkongsi gambar yang kelihatan seperti dokumen aduan jenayah terhadap CEO YG, namun hantaran Instagram itu dipadamkan tidak lama kemudian. Oleh yang demikian, tidak jelas sama ada Park Bom benar-benar memfailkan saman terhadap Yang Hyun-suk untuk jumlah tuntutan yang terlalu tinggi itu.

Agensi Park Bom, D-Nation Entertainment, telah mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai respons terhadap laporan media mengenai dakwaan tuntutan mahkamah tersebut. Dalam kenyataan itu, mereka memaklumkan sedang menyemak butiran kes, di samping menyatakan bahawa artis tersebut “sukar dikawal.”

“Kami juga sukar mengawal Park Bom. Kami kini sedang menyiasat secara terperinci dakwaan saman yang difailkan beliau terhadap Yang Hyun-suk.”

Walau bagaimanapun, tiada lagi pengesahan rasmi atau laporan daripada mana-mana agensi berita Korea yang mengesahkan berita tersebut.

Yang Hyun-suk sebelum ini telah berdepan penelitian undang-undang, termasuk dakwaan berkaitan kesalahan dadah dan ugutan terhadap pemberi maklumat. Pada tahun 2023, Mahkamah Agung Korea Selatan mendapati beliau bersalah kerana memaksa seorang pelatih menarik balik keterangannya yang berkaitan dengan tuduhan dadah, dan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan.

Sumber