Bayangkan beratnya hati seorang bapa yang terpaksa membuat keputusan untuk memenjarakan darah dagingnya sendiri. Begitulah realiti pahit yang sedang dilalui oleh seorang bapa di Zhengzhou, China, yang dikenali sebagai Zhu.

Beliau nekad mengambil keputusan drastik untuk menyerahkan anak perempuannya yang berusia 19 tahun kepada pihak polis dalam satu usaha terdesak bagi mendapatkan kembali simpanan seumur hidup keluarga mereka yang berjumlah 17 juta yuan (sekitar RM9.8 juta).

Bisnes Keluarga Bungkus, Bapa Heret Anak Ke Lokap Lepas Habiskan RM9 Juta Demi 'Gift'
Sumber Gambar: City News Services

Remaja perempuan tersebut, Xiao Meng, didakwa telah menggelapkan dana perniagaan keluarga selama 16 bulan. Lebih memilukan, wang titik peluh keluarganya itu bukan digunakan untuk tujuan perniagaan, sebaliknya dihamburkan ke alam maya.

Memetik laporan City News Service, hampir 11 juta yuan (~RM6.36 juta)digunakan semata-mata untuk memberi tip kepada hos penstriman langsung (*livestreamers*), manakala baki 6 juta yuan  (~RM3.47 juta) lagi dileburkan dalam permainan judi buka kotak kad (*card-unboxing*).

Bisnes Keluarga Bungkus, Bapa Heret Anak Ke Lokap Lepas Habiskan RM9 Juta Demi 'Gift'
Sumber Gambar: City News Services

Pengorbanan wang ringgit ini memberikan Xiao Meng gelaran ‘Kakak Nombor Satu’ (*bang yi da jie*), satu status kebanggaan tertinggi yang diidamkan ramai dalam ekonomi penstriman China kerana ia memberikan pengiktirafan awam daripada para hos.

Tragedi ini berakar umbi daripada kepercayaan penuh seorang bapa yang dikhianati. Zhu, yang kurang berpendidikan, telah melatih Xiao Meng untuk menguruskan akaun syarikat makanan mereka sejak remaja itu berusia 16 tahun, sebelum menyerahkan kawalan kewangan sepenuhnya dua tahun kemudian selepas anaknya berhenti dari sekolah vokasional.

Pada musim panas 2024, Zhu mula menyedari terdapat percanggahan kecil dalam akaun mereka, di mana Xiao Meng mengaku telah menghabiskan sekitar 500,000 hingga 600,000 yuan dan berjanji untuk berhenti.

Sebagai seorang bapa, Zhu mempercayai janji tersebut, tanpa menyedari anak gadisnya sedang melakukan puluhan transaksi harian secara rahsia bermula 17 Julai 2024, di mana kadang-kala dia memindahkan lebih 160,000 yuan sehari ke akaun peribadinya sebelum disalurkan ke platform penstriman.

Segala-galanya terbongkar pada November 2025 apabila Zhu mahu mengeluarkan wang untuk perniagaan, namun diberitahu oleh anaknya bahawa akaun syarikat sudah kosong.

Kini, perniagaan keluarga mereka telah muflis dan dibebani hutang pinjaman berjuta-juta yuan. Ironinya, di saat masa depan keluarga mereka sedang hancur, Xiao Meng dilaporkan tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan masih menghabiskan sepanjang harinya bermain telefon pintar.

“Dia berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun jika sabit kesalahan,” luah Zhu yang tersepit antara kasih sayang dan tanggungjawab. “Apabila dia keluar kelak, usianya sudah mencecah 30-an.

Namun, 17 juta yuan (sekitar RM9.8 juta) ini adalah simpanan seumur hidup kami. Saya tidak boleh menjelaskannya kepada para pemiutang. Hanya jika wang ini diklasifikasikan secara sah sebagai dana yang dicuri barulah kami berkemungkinan mendapatkannya kembali”.

Zhu sebelum ini cuba merayu kepada para hos penstriman untuk memulangkan wang tersebut, namun ditolak.

Dari sudut perundangan, tindakan sukar Zhu ini mungkin merupakan satu-satunya jalan keluar untuk keluarganya. Menurut peguam Zhou Zhaocheng, jumlah penyelewengan sebanyak 17 juta (sekitar RM9.8 juta)yuan ini dianggap “sangat besar” dan Xiao Meng boleh berdepan hukuman penjara antara 10 tahun hingga penjara seumur hidup.

Namun, Zhou menjelaskan bahawa sekiranya wang tersebut disahkan oleh mahkamah sebagai dana curi, pihak hos dan agensi pengurusan (MCN), dan platform penstriman wajib memulangkannya kembali.

Tambahan lagi, jika platform tersebut gagal melaksanakan proses pengesahan identiti yang betul atau tidak mengeluarkan amaran risiko bagi transaksi luar biasa besar, mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar ganti rugi.

Kisah keluarga Zhu bukan sekadar berita jenayah kolar putih biasa namun ia adalah sebuah peringatan emosi tentang bagaimana ketagihan di dunia maya mampu membutakan mata, memusnahkan kepercayaan keluarga, dan menghancurkan masa depan demi mendapatkan sedikit perhatian yang sementara.