Tahun lepas sebuah syarikat penerbangan tempatan berdepan situasi sukar sehingga perlu memberhentikan 6,000 pekerjanya dari pelbagai sektor. Ini bermakna beribu buah keluarga hilang punca pendapatan termasuklah sebuah keluarga mekanik pesawat di mana hanya dia seorang sahaja bergaji tetap.

Dia diberhentikan kerja pada 31 Ogos 2015, tiada lagi jawatan mekanik pesawat. Bagaimana nak tanggung keluarga? Bagaimana nak bayar hutang-hutang? Lalu terbit idea, dia mahu buat bisnes tapi modal yang ada waktu itu sangat kecil.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Isterinya tampil beri nasihat dan tegas menyatakan jangan buat bisnes yang memerlukan modal besar. Mulakan dengan apa yang kita ada sahaja. Lama-kelamaan dia boleh menerima nasihat isterinya itu. Dan mereka mula lakukannya bersama-sama.

Ikuti temubual saya bersama isteri lelaki ini untuk mengetahui bagaimana mereka bangkit semula selepas suami hilang mata pencarian.

Mereka adalah pengasas dan pengusaha produk kosmetik organik jenama Purebysafiyyahosman, Nur Safiyyah bt Osman, 27 dan Mohd Noradli bin Mohamad Yusop, 31.

Pengalaman Bisnes Si Suri Rumah

Isteri yang tidak betah duduk sahaja di rumah sambil menanti suami balik dari kerja, Safiyyah Osman melakukan bisnes secara kecil-kecilan dari rumah menerusi medan internet.

“Sebelum saya buat bisnes Purebysafiyyahosman ini, saya suri rumah sepenuh masa. Saya berkahwin semasa di semester 5 ketika belajar di kolej dulu. Setelah tamat diploma, saya memang jadi suri rumah sepenuh masa.

Selepas itu, saya mula berniaga online secara kecil-kecilan dari hujung tahun 2011 hinggalah pada awal tahun 2015. Saya telah jual semula bisnes yang saya usahakan itu kepada orang lain.

Kemudian, selepas 3-4 bulan, saya berniaga online semula dengan menjadi agen dropship untuk menjual kuah kacang dan menjual detox tea dari UK,” terang Safiyyah Osman atau lebih mesra dipanggil Piyah atau Piya.

Setelah tahu suami diberhentikan kerja, Piya tidak menunggu masa yang lama untuk mulakan hidup baru bersama suami, Piya serius mahu buat produk sendiri dan memulakannya pada pertengahan September 2015.

Jual Bisnes Dan Urus Hutang-Piutang

Piya pernah menjual bisnesnya dengan harga RM7,000 kerana ada masalah kewangan. Bisnes itu melibatkan pre-order barang bayi dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Kemudian, Piya mula berbisnes kembali dengan menjual kuah kacang dan detox tea. Dengan duit simpanan dari hasil jualan produk-produk tersebut sebanyak RM2,500 dan dicampur pula dengan duit baki pampasan suami sebanyak RM3,500, mereka memulakan bisnes Purebysafiyyahosman.

Modal Itu Adalah Duit Terakhir Mereka

RM6,000 adalah umpama peluru terakhir pasangan ini untuk survive. Apakah yang mendorong Piyah mahu membina bisnes berkaitan kosmetik homemade ini?

“Saya dari umur 15 tahun memang dah biasa guna body scrub dan face mask yang saya buat sendiri. Lepas fikir banyak kali, saya rasa why not saya cuba buat produk sendiri dan pasarkan.

Saya google tempat yang ada ajar kita cara untuk buat produk homemade sendiri. Dan saya hadiri kelas untuk belajar tentang ini dari seorang perempuan cina. Dari dialah saya banyak belajar pasal jenis minyak dan bahan organik dan semulajadi yang lain,” jelas Piyah.

Mula Dulu Baru Tahu

Bukan mudah untuk menyakinkan suami, perlu banyak sabar dan tidak putus asa. Satu sifat lelaki, mereka suka lihat benda yang jelas depan mata. Maka, isteri perlu membuktikan kepada suami bahawa idea dan rancangannya boleh direalisasikan.

“Bulan pertama saya buat seorang saja dan memang secara kecil-kecilan. Sekali buat siap lebih kurang 10 bekas. Masuk bulan kedua barulah suami rasa confident nak join dan letak modal. Dan kami terus gamble cari stokist.

Saya cuma pegang 1 perkataan iaitu ‘START’. Yang selebihnya saya lebih kepada berserah diri pada Allah. Apabila dah ‘START’, saya akan all out mencuba dan berusaha. Andai kata tak jadi, saya akan ‘START’ semula.

Sebab sebelum saya mula dengan produk homemade sendiri ini, bermacam-macam bisnes online saya cuba. Tapi sebab tak ada minat dan tak all out, semua tak jadi. Jadi, saya ‘START’ dengan sesuatu yang saya minat dan suka,” tambah Piyah lagi.

Pemasaran Purebysafiyyahosman

“Saya pasarkan melalui Facebook, Instagram dan blog saya. Kemudian baru saya beranikan diri menghantar email kepada pihak wartawan surat khabar dan televisyen.

Saya bertanya kepada mereka sama ada berminat atau tidak untuk keluarkan cerita berkenaan produk homemade saya ini. Dan saya bayar juga blogger untuk war-warkan produk saya.

Masa baru mula, saya jual dekat kawan-kawan terdekat melalui offline dan online. Selepas itu saya letak produk-produk di vendor butik. Kemudian, saya buka peluang kepada orang ramai untuk jadi stokis.

Pada permulaan, hanya 7 orang yang berminat untuk jadi stokist Purenysafiyyahosman. Makin hari ke hari makin meningkat bilangannya, dari 7 jadi 15, dan sekarang kami sudah ada 40 orang stokist di seluruh Malaysia dan Riau, Indonesia. Bilangan pelanggan pun turut meningkat juga,” cerita Piya tentang cara pemasarannya.

Kehidupan Selepas Menghidupkan Bisnes

Menurut Piya, pendapatan keluarganya kini melebihi pendapatan semasa suaminya bekerja sebagai mekanik pesawat. Dengan kerjasama yang baik bersama stokis, Purebysafiyyahosman menerima pesanan pelanggan setiap hari.

Piya dan suaminya memang tidak menyangka bisnes mereka akan sampai ke tahap ini dalam tempoh kurang dari setahun. Tambahan lagi, mereka memulakan bisnes dengan modal yang kecil sahaja.

“Masa memang tak sempat untuk buat semua benda, terutama kerja rumah yang hanya boleh diselesaikan pada hujung minggu sahaja. Sebab Sabtu dan Ahad memang diperuntukkan sebagai hari cuti untuk diri sendiri.

Macam untuk buat produk, selang 2 hari akan buat body scrub, eye serum dan foot soak, 2 minggu sekali pula akan buat 2 jenis soap dan lipbalm, 1 bulan sekali akan bancuh lipscrub dan toner setiap seminggu sekali dibancuh.

Jadi, memang macam lipas kudung sikit. Tapi sekarang, Piya ambil pekerja separuh masa, keadaan pun lebih baik dari sebelum ini. Bancuh siap produk, pekerja akan masukkan ke dalam bekas. Lain-lain kerja memang bahagi dua dengan husband,” jelas Piya.

Piya akan menulis invois untuk stokis dan pelanggan, memeriksa aliran duit keluar dan masuk ke bank, menjawab soalan-soalan stokis dan pelanggan, menyusun produk ikut pesanan, cari bahan untuk buat produk sedia ada dan akan datang serta pemasaran.

Suami Piya pula mengendalikan pembungkusan produk untuk stokis dan pelanggan, buat akaun, ambil tahu tentang keuntungan dan kos, memeriksa produk apa yang perlu dibancuh semula, dan rekabentuk label produk.

Disebabkan permintaan produk yang tinggi, mereka terpaksa menyewa rumah teres lain untuk memproses 14 jenis produk kosmetik ini.

Perancangan Masa Depan

Berdasarkan pengalaman bekerja sebagai beautician ketika berusia 18 tahun, Piya merancang untuk membuka spa mini dengan menawarkan penggunaan produk semulajadi dan organik. Piya juga ada asas mengurut dan membuat facial muka.

“Piya just buat saja apa yang terlintas. Lepas ‘Start’ baru akan ada plan untuk maintain dan manage apa yang Piya buat tu bagi lancar dan berjalan dengan baik.

Macam kalau duduk saja-saja terpikir, “OK aku boleh buat mini spa”, jadi Piya akan plan barang apa yang nak dibeli dan terus ON bisnes. Lepas itu plan servis apa nk buat, apa yang perlu ada semua. Sebab semua benda kita perlu ‘START’ dulu. Lepas tu plan untuk long term bagi bertahan. Begitu lah cara saya.” – Piya

Piya bersikap begitu kerana dia tidak mahu kita hanya berangan-angan tanpa mencuba memulakannya dulu. Sekarang Piya sedang mengusahakan trademark Purebysafiyyahosman.

Trademark ini penting untuk kita secure kan nama produk/nama jenama dari dicuri/diciplak. Saya jadikan peristiwa pelukis Ujang, yang hasil kerja dia diciplak dan di trademark oleh orang lain sebagai pengajaran. Dia dari ada segalanya, terus jadi zero,” ujar Piya.

Nasihat Piya Buat Mereka Yang Kehilangan Kerja

Piya: “Hidup harus diteruskan. Apa saja yang anda fikir untuk dibuat, MULAKAN! Jangan takut. Masa tak tunggu kita.

Mulakan apa yang anda fikir. Mulakan dengan apa yang anda ada. Mulakan dengan ketakutan. Mulakan dengan suara dan tangan yang terketar-ketar. Just mulakan. Jangan stop.

Dalam setiap profit yang kita dapat, jangan kedekut untuk tolong mak ayah, adik-beradik dan kawan-kawan yang pernah susah senang dengan kita. Dan sentiasa lah tunduk ke bawah (merendah diri).

Dan suami yang nak berjaya kena dengar pendapat isteri, walaupun 10% sahaja. Sebab isteri ini boleh fikir benda rumit yang suami tak terfikir. Ini semua sebab perempuan kan suka fikir benda yang rumit-rumit.

Piya alhamdulillah sekarang boleh dah rasa selesa dari dulu berbanding masa waktu suami bekerja makan gaji. Suami pun lebih happy dan tak stress dah.”

Piya adalah anak ketiga daripada 7 adik-beradik kepada pasangan guru dan penjaga pelajar tahfiz yang berasal dari Sungai Petani, Kedah. Walaupun memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kulim, Piya tidak bekerja di dalam bidang tersebut selepas berkahwin dengan suaminya.