Siapa sangka hasil berniaga menjual dan membaiki kipas di pasar malam dapat membawa gadis ini travel ke merata tempat. Itulah rezeki yang diperolehi oleh gadis bernama Nur Asyifa Binti Ajis. Gadis yang lebih mesra di panggil Effa ini juga dikenali dengan nama Doktor Kipas.

Menurut graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik & Elektronik yang berusia 26 tahun ini, semuanya bermula apabila ibunya ‘bising’ melihat Effa hanya ‘goyang kaki’ di rumah selepas tamat belajar.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

“Mak saya bising kerana saya ‘goyang kaki’ dan daripada buang masa, saya tolong ayah. Ayah saya seorang Penjaga Jentera Elektrik lepasan IKM dan beliau berkemahiran dalam bidang Elektrik. Waktu lapang ayah sering membaiki peralatan elektrik.

Saya dapati kipas paling mudah dibaiki berbanding televisyen. Dari situlah bermula kerjaya saya sebagai Doktor Kipas” – Effa.

Lebih menarik, perniagaan menjual kipas terpakai Effa di pasar malam bukan saja mendapat sambutan tapi turut menarik minat wartawan akhbar dan TV untuk memaparkan kisah beliau.

“Kerana saya perempuan, ada ijazah dan hanya membaiki kipas dan jual semula di pasar malam. Ramai tertanya-tanya mengapa saya tidak memilih untuk bergelar engineer ketika itu. Saya dapat tawaran Project Engineer di Johor tetapi saya tolak atas faktor jarak dan gaji. Saya ada sebab saya tersendiri” – Effa.

Keluar mengembara 4 bulan

Baru-baru ini, Effa telah mengembara selama 4 bulan ke Iran, UK, Denmark dan Thailand. Ini merupakan pengembaraan pertama Effa dalam tempoh yang agak lama.

Sebelum trip ini, Effa juga aktif mengembara bersama keluarga dan rakan-rakan ke luar negara, antaranya ke Indonesia, Korea Selatan, China, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Faktor yang mendorong Effa travel lebih lama kali ini

Menurut Effa impian mahu travel solo sebenarnya telah disimpan lama oleh Effa, iaitu sejak masih belajar. Namun disebabkan situasi sebagai pelajar dengan sumber kewangan terhad, impian beliau jadi terbatas.

“Saya mencari masa yang sesuai. Pada Januari 2017 akhirnya saya dapat bermula. Kebetulan pada masa tu saya merancang dengan 4 orang rakan travel saya untuk ke Iran. Tiket dari Iran ke London pula kebetulan murah, hanya RM340 sehala. Jadi saya just book and go! Saya dan rakan travel lain pun berpecah selepas itu.

Kembara sambil membawa misi perniagaan

Sebagai seorang yang kini menjalankan perniagaan membaiki dan menjual kipas terpakai, Effa turut mempunyai misi berkaitan dengan perniagaan sewaktu kembara kali ini – iaitu kipas.

“Di Iran, saya dapati mereka juga menggunakan kipas terutamanya di musim panas. Suhu di musim panas mencecah hingga 40C. Di musim bunga juga mereka turut menggunakan kipas jika suhu mencecah 26C. Sempat juga saya selamatkan sebiji kipas di sana! Dan seorang rakyat Iran suruh saya datang di musim panas untuk baiki semua kipas di sana.”

“Di London, pasaran kipas tidak menyeluruh. Saya dapat melihat pasaran kipas antik yang boleh dicari di car boot sales sama ada indoor mahupun outdoor” – Effa.

Namun menurut Effa daripada survey yang dilakukan, kipas di Portabello Market lebih mahal berbanding di car boot sales di mana harga boleh dirunding dengan pemilik barang antik tersebut.

“Di Denmark juga mereka turut menggunakan kipas pada musim panas. Tak sangka di negara Skandinavia juga guna kipas! Saya terkejut kerana host (couchsurfing) ada kipas di rumahnya”.

Malahan Effa terkejut apabila dimaklumkan suhu musim panas di Denmark boleh mencecah antara 30C ke 37C.

“Dan misi saya berakhir di Thailand. Seperti semua sedia maklum, cuaca di Thailand sama saja dengan Malaysia. Jadi banyak jenis kipas dan design yang unik yang saya jumpa. Brand terkemuka di sana adalah Hatari. Tengok iklan pun pecah perut! Thailand kreatif dengan tv komersial mereka” – Effa.

Siapa uruskan perniagaan sepanjang Effa travel?

Selama tempoh travel, bisnes saya dikendali oleh keluarga, papa saudara dan pekerja sambilan. Ulang tahun pertama Doktor Kipas adalah pada 20 Januari lepas. Saya sambut dengan travel buddies di Iran.

Gunakan Couchsurfing untuk cari tempat menginap

Ya saya banyak berjimat dari segi penginapan. Saya tinggal percuma di rumah penduduk tempatan di setiap negara. Di Iran masih ada travel buddies dan walaupun berpecah selepas itu, saya masih gunakan Couchsurfing.com.

Saya akan pastikan “reference” yang ditinggalkan oleh setiap surfer adalah positif untuk host tersebut. Saya tinggal lama di UK sebab saya ada anjurkan event CS Meet up di sana dan setiap orang daripada mereka ajak saya tinggal dengan mereka.

Dari segi makanan, saya banyak masak sendiri kerana barangan asas mereka murah berbanding makan di kedai. Dari segi pengangkutan pula,saya banyak jalan kaki dan cuba hitch-hike di kawasan luar bandar.

Bagaimana simpan duit sebelum travel?

Saya ada tabung travel saya sendiri. Cara simpan duit mudah sahaja, pantang tengok duit RM20 yang kuning tu terus simpan! YELLOW = TRAVEL. Meniaga di pasar malam 6 kali seminggu jadi kalau dapat 5 keping setiap kali berniaga, 5 keping lah masuk tabung. Jika dapat 3 keping duit RM20, maka semua 3 keping masuk tabung.

Berapa bulan atau berapa lama menabung?

Boleh dikatakan saya menabung selama setahun. Saya mula serius untuk buat tabung travel seawal memulakan bisnes dulu, iaitu pada Januari 2016.

Perkara positif yang diperolehi sepanjang 4 bulan mengembara

1. Dari sudut peribadi

Travel solo di negara orang membuatkan saya lebih yakin dengan apa yang saya lakukan. Keputusan terletak di tangan saya. Jadi setiap langkah saya sepanjang travel adalah atas risiko saya sendiri.

Bila pulang ke tanah air, saya tidak lagi ambil masa terlalu lama dalam membuat keputusan. Saya juga kini lebih berani berhadapan dengan apa jua risiko terutamanya perihal bisnes saya.

2. Perspektif perniagaan

Tidak mustahil jika suatu hari nanti Doktor Kipas akan berkembang di peringkat antarabangsa kerana setiap negara yang saya jejak ada saja kipas. Yang tiada mungkin di Antartik sahaja kot! Haha.

Saya ada jumpa kenalan tinggal di Brazil dan dia juga merasakan pasaran kipas di sana sangat bagus. Di Amerika Latin kos untuk eksport kipas mahal dan mereka ada jenama kipas mereka sendiri iaitu Domina.

Bila saya sembang dengan CEO Pentec sendiri, kualiti kipas di Brazil tidak setanding dengan kipas di Malaysia(Asia). Makna kata mungkin Doktor Kipas boleh buka cawangan di sana pula dengan kipas yang berkualiti! Berangan itu percuma.

3. Kenalan dan rakan baru

Ramai kenalan baru yang saya jumpa sepanjang travel kali ini sama ada di kalangan akyat Malaysia dan juga dari pelbagai negara. The best part is everyone supports me as Doktor Kipas.

Banner We ❤️ Doktor Kipas saya bawa ke setiap tempat dan mereka juga membantu saya untuk buat video bisnes. Mereka turut mengalu-alukan kedatangan saya ke negara mereka dan kami masih berhubung sehingga kini.

4. Pandangan terhadap dunia atau bangsa lain

Pandangan saya 100% berubah! Kalau dulu saya stereotype, tetapi tidak sekarang. Negara Iran yang dikhuatiri tidak selamat dan penuh dengan Syiah ternyata selamat dilawati. Syiah dan sunni di sana seperti bersaudara.

Mat Salleh yang saya anggap terlalu terbuka dan sosial ternyata tak semua begitu. Walaupun tatoo penuh di badan, tapi berhati baik dan menghormati Muslim. Banyak sebenarnya yang nak ceritakan dan ini salah satu kisah yang saya kongsikan di Vocket.

Baca: Saya Berhenti ‘Judge’ Orang Lepas Lihat 2 Kejadian Ini Semasa Travel

Pengalaman manis sepanjang travel.

Sepanjang travel saya jumpa orang-orang baik yang banyak membantu saya. Saya rasa itu pengalaman manis yang saya tak dapat lupakan di setiap negara dan kami masih berhubung! Kalau berjodoh,mungkin si dia bermata hijau akan datang ke Malaysia tak lama lagi.

Pengalaman cemas

Hampir terlepas bas ke airport di Victoria Coach Station, London kerana melayan scammer! Hati-hati ya di situ. Saya lemah bila mereka cakap ,”I’m a Muslim”. Berpakaian seperti homeless dan akan paksa anda berikan wang.

Jika anda tiada wang tunai,mereka akan cakap kepada anda,” I know the nearest ATM here”. Akhir sekali dia minta Oyster Card sebab nampak saya tergesa-gesa nak naik bas. Saya bagi sahaja sikit duit memandang itu hari terakhir di London.

Pengalaman lucu

Saya pernah ditawarkan kerja di UK sebagai ‘dog carer’. Saya tinggal di country side (kampung) ketika itu, jiran saya seorang wanita tua. Dia perlu bawa anjingnya bersiar-siar di taman.

Tetapi dia tidak berupaya dan anak dia balik hanya sebulan sekali. Saya tak berdaya nak menolak dengan kata-kata (dan perlu terangkan tentang samak), jadi kawan saya cepat-cepat cakap “She’s allergic to dog!” Lega.

Tak semua orang British tahu tentang Muslim. Siapa sangka, kerja ini pun ada disana. Jika saya terima, bayaran adalah £8 per jam. Wow!

Pengalaman rare

Pengalaman rare tu bila di setiap negara yang saya pergi, ada saja terjumpa pejuang ganja. Di Iran host mat ganja. Di London ada pula hari 420 untuk perjuangkan ganja bagi tujuan perubatan.

Di Denmark ada perkampungan ganja terus iaitu di Christiana Free Town. Semua ni ada saya ceritakan di akaun Facebook saya.

Perancangan asal travel setahun, tapi hanya dapat travel 4 bulan saja

Jika diikutkan perancangan asal, Effa ingin travel sepenuh masa selama setahun sambil belajar cara untuk survive sebagai pengembara sepenuh masa.

“Perancangan asal saya travel lebih dari 4 bulan dan nak beraya di Dublin. Selepas Dublin nak ke Paris. Kemudian buat roadtrip rentas Belgium dan Netherlands. Tapi tergendala kerana terpaksa pulang awal ke Malaysia.

Tak perlu duit yang banyak pun sebenarnya hehe. Saya singkatkan tempoh travel saya kerana merasakan perlunya ‘keberadaan’ saya di tanah air. Sewaktu saya travel masih ada pelanggan yang order kipas online dan saya terpaksa ambil details dan berikan kepada ayah saya.

Saya pelik kerana masih ada pelanggan yang menunggu saya untuk pulang. Sedangkan operasi Doktor Kipas masih berjalan seperti biasa, cuma pengurusan disana tidak dikendalikan oleh saya.

Selain daripada itu, saya mendapat tawaran kerjasama dengan syarikat pengeluar kipas Malaysia iaitu jenama Pentec. Suara-suara positif dan pemangkin semangat banyak mempengaruhi saya untuk pulang awal ke tanah air.

Memang seronok berkelana di negara orang tapi bagi saya, ada masa kita perlu pulang kembali ke ‘tanah tumpahnya darahku’. Jadi tempoh travel saya berakhir pada awal Mei lalu” – Effa.

Bagaimana Effa berjaya balik dengan tiket yang lebih murah

Jika direct London – Puau Pinang menggunakan Malaysia Airlines, harga tiket mencecah RM3800. Tiket penerbangan balik lebih murah jika saya terbang dari London ke Copenhagen dan turun ke Bangkok. Dari Bangkok saya buat roadtrip pulang ke Penang.

Dengan cara ini saya hanya menghabiskan RM1200 untuk tiket penerbangan balik dan transit di 2 buah negara. Aplikasi Kiwi.com sangat membantu saya mencari jalan pulang ke tanah air dengan penjimatan yang hebat sambil enjoy travel di Denmark dan Thailand dahulu!

Rasa lebih sayangkan negara selepas balik dari travel

Effa sempat berkongsi, selepas balik dari travel perasaan sayang dan patriotik kepada negara terasa semakin tinggi. Menurut Effa sebelum ini beliau tidak berperasaan begitu. “Tambahan pula saya kurang gemar dengan politik yang sedia ada” – Effa.

Ujar Effa lagi, sewaktu travel di Eropah beliau lihat seolah-olah penduduk di sana ‘mampu miliki’ sesuatu.

“Pergi shopping di pasar, saya lihat mereka berbelanja seolah-olah tiada perasaan, tiada bebanan. Bagi peralatan elektrik seperti microwave dan pemanas boleh dikatakan setiap rumah yang saya kunjungi pasti ada. Paling murah saya jumpa microwave harga £10” – Effa.

Dan Effa sendiri tidak menyangka rupa-rupanya ada pelanggan yang menunggu kepulangan beliau.

“Isnin lepas saya seperti biasa buat pertama kali selepas mengembara, saya menjual kipas-kipas terpakai di pekan hari. Saya terharu sebab kepulangan saya seperti dinanti-nantikan.  Harga kipas-kipas yang saya jual semuanya separuh dari harga yang baru.

Ada pelanggan yang cakap – kipas terpakai ja la yang mampu makcik beli. Kipas baru mahai lani. Anak-anak ramai dok berebut kipas.”

Allahu. Saya rasa sebak. Saya rasa tahap untuk mengubah dan menyumbang kepada rakyat Malaysia makin tinggi. Saya dah buat semua orang mampu milik dengan kipas yang saya jual.

Teringat negara Eropah tadi. Walaupun saya hanya rakyat marhaen,sekurang-kurangnya saya dah mengurangkan sedikit bebanan orang lain di negara sendiri” – Effa.

Effa di hadapan kedai beliau yang mula beroperasi hari ini.

Ambil keputusan buka kedai

Sejurus pulang ke tanah air, saya terus ambil keputusan untuk membuka kedai SALES & REPAIR SERVICES untuk kipas dan sekarang bersiap sedia untuk jualan gudang. Bukan setakat kipas tetapi barangan elektrik lain juga seperti periuk nasi elektrik, air fryer, oven dll.

Bagaimana denga tawaran temuduga pilot AirAsia?

Perkara yang susah dalam hidup ni sebenarnya untuk buat PILIHAN. Yang interview pilot Air Asia tu saya terpaksa tolak. Memang dari kecil saya bercita-cita menjadi Juruterbang.

Tetapi saya nampak Allah itu maha pemurah rezeki. Saya nampak rezeki saya untuk jadi Doktor Kipas. Jadi saya teruskan dengan apa yang saya lakukan sekarang.

Apa perancangan travel selepas ini?

Selagi tak penuh 196 buah negara kat dunia ni, selagi tu perancangan travel masih ada. Hehehe. Tu pun kalau ada rezeki dan dipanjangkan umur. Next trip mungkin ke Guangzhou semula untuk urusan bisnes.

Pesanan kepada pembaca Vocket yang mungkin ingin travel seperti Effa.

Pesanan saya terutamanya perempuan yang ingin travel solo, pastikan dapat keizinan mak ayah dulu. Kalau mereka bagi lampu hijau, siapkan kesemua kelengkapan untuk travel dan ready to fly!

Kepada Effa, kami ucapkan selamat maju jaya dalam perniagaan yang sedang dibangunkan. Semoga Doktor Kipas dapat melebarkan sayap ke luar negara. Last but not least, happy birthday dari kami di Vocket kerana hari ini adalah harijadi Effa.

Baca lagi:  Dengan RM3K, Ini Cara Jaja Penuhi Impian Travel Solo 2 Bulan Di Korea Selatan