Teki-teki empat pasukan yang mara ke separuh akhir bola sepak lelaki SUKMA 2026 terjawab sebaik sahaja berakhirnya aksi antara Selangor bertemu Melaka.
Tiga pasukan yang menamatkan peringkat awal selaku juara kumpulan iaitu Selangor, Johor dan Perak masing-masing berjaya meneruskan kemaraan.
Sementara itu Pahang menjadi wakil tunggal daripada kalangan pasukan naib juara untuk terus berjuang memburu pingat emas.
Selangor yang diperkuatkan dengan kehadiran Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon, Muhammad Abu Khalil, Moses Raj dan Rohisham Haiqal Hashim berjaya menundukkan pemenang pingat perak edisi lalu, Melaka dengan keputusan 2-0.
Jaringan tuan rumah itu hadir pada minit ke-45+2 menerusi Haykal Danish dan kemudiannya Muhammad Zarudl Aidid Moktar menambah jaringan kedua untuk memastikakan slot ke separuh akhir menjadi milik Selangor.
Menanti mereka esok ialah Pahang yang menundukkan Sabah 1-0 hasil jaringan Ibrahim Nyass Ilmu Firaz bin Abdul Aziz pada minit ke-11.
Sementara itu Johor melepasi cabaran Terengganu dengan kemenangan 2-1. Muhammad Daniesh Amiruddin membuka tirai jaringan buat Johor pada minit ke-54 tetapi Muhammad Adam Haikal Mizal menyamakan kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-73.
Daniesh akhirnya menjadi wira buat Johor apabila berjaya menghadiahkan jaringan kemenangan pada minit ke-85 untuk berhadapan dengan Perak.
Perak memerlukan hingga ke penentuan masa tambahan melangkah ke separuh akhir selepas Mohamad Haziq Danish Mohd Hafidz menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93.
Berikut merupakan jadual penuh aksi separuh akhir bola sepak lelaki SUKMA 2026:
Separuh Akhir Bola Sepak Lelaki SUKMA 2026
20 Ogos 2026 (Khamis)
1) Johor lawan Perak – 4.00 Petang – Stadium UiTM Shah Alam
2) Selangor lawan Pahang – 8.30 Malam – Stadium MBPJ