Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mungkin akan memperkenalkan garis panduan keselamatan bagi pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kediaman persendirian susulan kejadian kebakaran sebuah rumah di Cheras pada hari Ahad.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, ketika ini tiada garis panduan khusus yang mengawal selia pemasangan pengecas EV di rumah kediaman, memandangkan garis panduan sedia ada hanya tertumpu kepada premis komersial, petik New Straits Times.

“Kita akan membangkitkan isu ini kepada pihak berkuasa berkaitan. Untuk kediaman, kita belum ada (garis panduan khusus). Kawalan kita buat masa ini adalah untuk premis komersial,” katanya selepas merasmikan Fire Skills Hub bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan hari ini.

Walau bagaimanapun, Nor Hisham menjelaskan bahawa pihak penyiasat belum membuat kesimpulan bahawa EV itu sendiri yang menyebabkan kebakaran di Cheras pada 16 Ogos lalu.

Menurutnya, keterangan saksi termasuk maklumat daripada pemilik rumah telah membawa penyiasat untuk mempertimbangkan beberapa andaian punca yang melibatkan sistem pengecasan EV.

“Ini termasuk kenderaan itu sendiri, peralatan pengecasnya, atau pendawaian elektrik yang disambungkan ke pengecas. Kita belum boleh membuat kesimpulan. Kita perlu menunggu penyiasatan selesai,” katanya.

Memetik laporan itu lagi, Nor Hisham memaklumkan bahawa statistik mekodkan kira-kira 25 kes kebakaran melibatkan empat kategori EV sepanjang tiga tahun lepas. Jumlah itu katanya kekal stabil setiap tahun dan tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.

Namun begitu, beliau mengakui bilangan EV di jalan raya Malaysia semakin meningkat, manakala pihak jabatan belum menganalisis insiden kebakaran berbanding pertambahan populasi EV semasa.

Sehubungan itu, Nor Hisham menasihati pemilik rumah yang menggunakan pengecas EV supaya memastikan peralatan berkenaan mematuhi piawaian keselamatan yang diiktiraf, terutamanya jika pengecas dibeli secara berasingan dan bukan dibekalkan sekali dalam pakej kenderaan.

Beliau menegaskan pemasangan hendaklah dilakukan oleh syarikat yang berdaftar dan bertauliah, di samping pendawaian elektrik rumah diperiksa secara teratur sebelum pengecas dipasang.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada saiz dan kesesuaian pendawaian elektrik serta sistem pemutus litar kenit (MCB). Ini penting kerana EV boleh dicas secara berterusan selama tujuh hingga lapan jam, yang boleh menimbulkan risiko kebakaran elektrik jika pemasangan atau pendawaian tidak sesuai,” katanya.

Beliau menambah, iktibar daripada kes kebakaran terdahulu yang melibatkan petak pengecasan persendirian menunjuk kepada punca pendawaian elektrik yang disambungkan ke sistem, dan bukannya pada pengecas itu sendiri.

Pihak jabatan akan meneliti hasil siasatan kes di Cheras sebelum berhubung dengan penggiat industri sama ada langkah selanjutnya diperlukan.

Sebelum ini dilaporkan, sebuah EV yang sedang dicas di tempat letak kereta sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan kediaman tersebut di Alam Damai, Cheras, pada Ahad.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 5.03 pagi berhubung kebakaran rumah berhampiran Surau At Taqwa di Jalan Murni 10.

Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati rumah teres dua tingkat berukuran 20 kaki x 60 kaki itu sedang dijilat api.

Kediaman berkenaan musnah sepenuhnya, namun tiada kecederaan dilaporkan. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.41 pagi.