Bola sepak Perancis menyaksikan antara kisah penyelamatan paling dramatik apabila Girondins de Bordeaux berjaya diselamatkan daripada ambang kejatuhan sepenuhnya.
Kelab bersejarah itu yang melalui tempoh sukar akibat ketidakstabilan kewangan kini dilihat telah mendapat jaminan untuk meneruskan kelangsungan mereka buat sementara waktu menerusi perubahan pemilikan yang luar biasa.
Dalam perkembangan mengejutkan buat bola sepak Perancis seperti dilaporkan Goal, Bordeaux mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk pertukaran pemilikan kelab itu pada harga simbolik hanya €1.
Perjanjian tersebut menyaksikan syarikat milik Gerard Lopez menyerahkan kawalan ke atas kelab yang sedang bergelut itu kepada sebuah firma baharu, Park Bench.
Walaupun harga pembelian ditetapkan pada jumlah yang sangat rendah, pemilik baharu tersebut perlu menanggung beban kewangan yang besar. Kelab berkenaan mengumumkan bahawa proses pengambilalihan itu dimuktamadkan pada harga simbolik €1 berserta pengambilalihan segala hutang.
Dengan bersetuju untuk menanggung liabiliti kewangan yang besar itu, Park Bench memberikan talian hayat kepada kelab berkenaan yang sebelum ini dikhuatiri tidak akan mampu diselamatkan selepas berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat serta kegagalan pentadbiran selama beberapa bulan.
Kejatuhan Bordeaux berlaku dengan begitu pantas dan menyakitkan buat para penyokong setia mereka. Pernah menjadi pasukan yang kerap beraksi dalam saingan Eropah dan pencabar kejuaraan Ligue 1, kelab itu berdepan beberapa tahun penuh salah urus yang akhirnya menyebabkan mereka disingkirkan daripada liga profesional kebangsaan.
Walaupun situasi yang dihadapi begitu serius, kelab berkenaan melihat pengambilalihan ini sebagai permulaan kepada lembaran baharu.
Dalam kenyataan rasmi yang dikongsikan menerusi media sosial, Bordeaux meluahkan keyakinan terhadap masa depan mereka dengan menyifatkan persetujuan rasmi itu sebagai ‘langkah besar’ untuk masa depan organisasi.
Perkembangan tersebut memberikan sedikit sinar harapan kepada penyokong yang menyaksikan pasukan mereka merosot jauh dalam piramid bola sepak Perancis sambil berdepan pelbagai masalah di luar padang.
Walaupun persetujuan antara Lopez dan Park Bench merupakan perkembangan besar buat Bordeaux, pengambilalihan tersebut masih belum mendapat pengesahan sepenuhnya.
Pemilik baharu yang bakal mengambil alih kelab itu perlu melalui proses penilaian ketat bagi membuktikan kemampuan kewangan serta komitmen mereka untuk mengurus kelab dalam jangka panjang.
Proses tersebut termasuk sesi pendengaran bersama pihak berkuasa sukan serantau berkaitan bagi memastikan Bordeaux mampu beroperasi secara mampan pada masa hadapan dan memenuhi segala komitmen mereka dalam struktur liga bola sepak Perancis.
Pihak pembeli kini akan dipanggil untuk menghadiri sesi pendengaran bersama Suruhanjaya Kawalan Pengurusan Serantau Liga Bola Sepak Nouvelle-Aquitaine. Sesi tersebut merupakan salah satu keperluan undang-undang penting dalam proses pengambilalihan kelab berkenaan.