Bosnia-Herzegovina menghidupkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Qatar 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Seattle.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan kendalian Sergej Barbarez menamatkan saingan kumpulan dengan empat mata, manakala Qatar tersingkir tanpa sebarang kemenangan.

Beraksi dalam perlawanan wajib menang, Bosnia mempamerkan pendekatan lebih agresif sejak wisel permulaan. Mereka menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang sebelum akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-29 menerusi rembatan jarak jauh menakjubkan Alajbegovic yang gagal diselamatkan penjaga gol Qatar.

Lima minit kemudian, Bosnia menggandakan kelebihan apabila pertahanan Qatar, Albrake, tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang serangan lawan. Bosnia kelihatan selesa mendahului 2-0, namun Qatar berjaya merapatkan jurang sebelum tamat separuh masa menerusi kapten berpengalaman mereka, Hassan Al Haydos, pada minit ke-42.

Gol tersebut memberi suntikan semangat kepada Qatar yang tampil lebih berani selepas rehat. Namun, Bosnia berjaya mengawal tempo permainan dan menghalang lawan daripada mencipta banyak peluang berbahaya.

Dalam keadaan Qatar semakin terdesak mencari gol penyamaan, Bosnia akhirnya memastikan tiga mata menerusi jaringan Mahmic pada minit ke-80 selepas situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti.

Perlawanan ini turut menjadi detik istimewa buat penyerang veteran Edin Džeko yang membuat penampilan antarabangsa ke-150 bersama Bosnia-Herzegovina. Pada usia 40 tahun, beliau sekali lagi memainkan peranan penting dalam membantu negaranya kekal bersaing di pentas terbesar dunia.

Keputusan 3-1 itu mengesahkan penyingkiran Qatar daripada Piala Dunia 2026, manakala Bosnia-Herzegovina kini berada di tangga ketiga masih menunggu keputusan daripada kumpulan lain untuk perebutan selaku pasukan tangga ketiga terbaik.

Dalam satu lagi perlawanan, Switzerland dan Kanada berentap untuk menentukan siapa juara kumpulan. Yang akhirnya Switzerland menang 2-1 ke atas tuan rumah Kanada.

Switzerland mara selaku juara kumpulan, sementara Kanada mengiringi mereka sebagai naib juara kumpulan B.