Diinspirasikan daripada basikal Velodrom Olimpik, WX-R, anak watan Malaysia telah membuka sebuah syarikat startup, Bozetta Bike untuk menghasilkan sebuah basikal jalan raya (road bike) bertaraf antarabangsa.
Khabar membanggakan ini dikongsikan oleh Dr. Aid Fawzal, pengasas kepada formula fizik yang dikenali sebagai Fawzal Number, yang mengolah sistem penyejukan kereta jenis supercar.
Baca Juga:
- Cabut Thermostat Untuk Halang Suhu Kereta Meningkat, Ini Penjelasan Daripada Pakar Automotif
- Tular Wanita Isi ‘Minyak Kuning’, Pakar Jelaskan Sebab McLaren Boleh Guna RON 95
- Pakar Jelaskan Kenapa Reka Bentuk ‘Steering’ Seperti Ini Bahaya Untuk Kereta Kegunaan Harian
Menerusi perkongsian Facebook, Dr. Aid dijemput oleh Bozetta Bike untuk menjadi perantara teknikal (CFD Specialist) bagi membantu memahami aerodinamik basikal pertama Malaysia — FZ8.
Basikal itu menggunakan kerangkanya gentian karbon gred tinggi dengan penggunaan komposit yang berbeza-beza pada setiap sudut kritikal.
Ia bertujuan supaya memastikan kekakuan (stiffness) kerangka berbanding ketegaran (rigidity) dapat diseimbangkan.
Sekaligus basikal FZ8 mampu memberikan komunikasi yang baik antara penunggang dengan basikal serta tetap mengekalkan daya pada setiap kayuhan sampai terus ke permukaan jalan.
Tambahnya lagi kemampuan basikal untuk ‘potong angin’ juga amat penting.

“Basikal yang terlalu tinggi rintangan angin memerlukan lebih banyak tenaga pada setiap kayuhan; ini meletihkan. Kerana itulah, kajian aerodinamik untuk ‘road bike’ sangat penting.
“Sebab itulah Bozetta Bike Malaysia memilih untuk menghantar prototaip pertama mereka ke Silverstone Engineering Hub, UK dengan kerjasama Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) untuk memasuki terowong angin (wind tunnel) bagi ujikaji aerodinamik,” ujar Dr Aid.
Menurutnya, hasil ujian aerodinamik tempoh hari memberikan keputusan yang sangat memberangsangkan.
“Dengan berani dan yakin untuk saya katakan data-data aerodinamik Bozetta FZ8 menunjukkan bahawa basikal yang baru sahaja dibangunkan kurang 2 tahun ini mampu setanding basikal-basikal ‘road bike‘ yang lain dalam pasaran pada sudut potong-anginnya,” jelas beliau.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Bozetta Bike kerana memberi peluang untuk saya sama² jayakan program pembangunan basikal ‘road bike‘ pertama Malaysia ini.
“Terima kasih juga kepada pihak ISN yang memberi ruang untuk ujian aerodinamik. Tak lupa juga cerdik pandai di Silverstone Engineering Hub yang mesra menjawab segala pertanyaan teknikal saya sewaktu ujikaji dijalankan.
“Peluang dapat masuk sendiri dalam terowong angin ini buat saya teruja dan hargai pengalaman ini.
“InsyaAllah saya akan terus bantu team Bozetta dalam pembangunan produk mereka yang seterusnya dan semestinya untuk memajukan teknologi ciptaan Malaysia,” kata Dr Aid yang cukup bangga dengan hasil pembangunan syarikat startup anak watan ini.