Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer dalam kenyataannya di hadapan jemaah menteri mengesahkan bahawa kerajaannya sebulat suara menolak untuk menyertai pakatan Amerika Syarikat-Israel dalam serangan mereka di Iran.

Menurut Starmer, negara itu masih menyesali kesilapan lalu menyertai pakatan Amerika Syarikat ketika menyerang Iraq yang ternyata satu tindakan sia sia dan pembaziran.

Perdana Menteri UK, Keir Starmer sekali lagi menegaskan bahawa Britain tidak terlibat dalam serangan awal yang dilancarkan pada hari Sabtu. Malah mengecam tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya itu sebagai melakukan serangan ofensif.

Starmer berkata, beliau telah menerima kritikan daripada Presiden AS, Donald Trump, berhubung keputusannya untuk tidak menyertai serangan tersebut.

Ini kerana Britain dikenali sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat selain Isra*l.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk menilai apa yang menjadi kepentingan nasional Britain,” kata Sir Keir.

“Itulah yang telah saya lakukan, dan saya tetap dengan keputusan itu.

“Kami masih ingat dengan kesilapan kami di Iraq dan kami sudah belajar daripadanya,” tambah beliau.

Perdana Menteri itu juga dilihat mempersoalkan sama ada Presiden Trump mempunyai pelan jelas untuk fasa seterusnya konflik di Timur Tengah ketika serangan itu dimulakan.

Beberapa kali, Sir Keir menekankan keperluan wujudnya “asas yang sah di sisi undang-undang” dan “pelan yang berdaya maju serta difikirkan secara menyeluruh” sebelum menghantar anggota tentera Britain menyertai sebarang tindakan ketenteraan.

“Pengajaran sejarah mengajar kita bahawa apabila kita membuat keputusan seperti ini, adalah penting untuk memastikan terdapat asas yang sah dari segi undang-undang bagi apa yang dilakukan oleh United Kingdom.

“Itu adalah salah satu pengajaran daripada Iraq.

“Dan bahawa mesti ada pelan yang berdaya maju serta difikirkan secara teliti dengan objektif yang boleh dicapai atau sekurang-kurangnya mempunyai prospek realistik untuk dicapai.

“Itulah prinsip yang saya gunakan dalam membuat keputusan hujung minggu lalu, termasuk keputusan untuk tidak terlibat dalam serangan ofensif AS dan Israel.”