Khidmat jurulatih dari Malaysia menjadi pilihan skuad futsal kebangsaan Brunei untuk membimbing negara tersebut menghadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026.

Individu dari Malaysia yang dimaksudkan ialah Qusmaini Noor Rusli, jurulatih berpengalaman luas dalam kancah futsal tanah air.

Kali Kedua Qusmaini Bersama Brunei

Ia merupakan fasa kedua Qusmaini bersama Brunei dimana sebelum ini beliau pernah membimbing negara tersebut pada 2017.

Brunei Tagih Sentuhan Jurulatih Dari Malaysia Hadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026
Qusmaini bersama Eloy Alonso yang merupakan penolong Ketua Jurulatih Skuad Futsal Thailand. Kredit Foto: Futsal Thailand

Spekulasi itu terjawab apabila tinjauan di laman Facebook Futsal Thailand, kelibat Qusmaini kelihatan pada sidang media khas ketua jurulatih pasukan yang beraksi dalam kumpulan B Kelayakan Piala Futsal Asia 2026 di Bangkok semalam.

Difahamkan beliau bukan sahaja akan membimbing skuad senior tetapi turut menggalas tugasan penting dalam menyediakan skuad bawah 19 tahun bagi menghadapi Kejohanan Futsal ASEAN B-19 pada Disember nanti.

Bagi kempen Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang akan bermula hari ini, Qusmaini yang merupakan pemegang lesen Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 3 akan menghadapi cabaran tuan rumah iaitu Thailand bersama-sama Bahrain dan Korea Selatan.

Brunei akan bertemu Thailand pada jam 8.30 malam esok dan kemudiannya menghadapi Korea Selatan pada 22 September (5.30 malam) dan aksi terakhir menentang Bahrain pada 24 September, jam 8.30 malam.