Berita pelantikan Qusmaini Noor Rusli sebagai ketua jurulatih Rafhely United dalam saingan Liga Futsal Profesional 2024/25 bukan sahaja mencuri tumpuan media Malaysia dan Indonesia.

Malah, penghijrahan beliau dari Gombak TOT United ke Rafhely United itu turut mendapat liputan daripada media futsal Eropah, Futsalplanet.com.

Baca Juga:

Laman futsal yang mempunyai kira-kira 33,000 pengikut Facebook dan 14,600 orang pengikut di Instagram itu telah memuat naik satu hantaran berkenaan pelantikan Qusmaini, semalam.

“Berita menarik dari Indonesia: jurulatih Malaysia, Qusmaini Noor Rusli telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Rafhely Futsal!”

“Naib juara Liga Futsal Nusantara yang lalu (pertandingan liga divisyen 2 di Indonesia), Rafhely telah dinaikkan pangkat ke Liga Futsal Pro dan telah mendapatkan khidmat jurulatih  dari Malaysia untuk bertemu musim baharu untuk impian musim baharu mereka.”

Seperti dilaporkan sebelum ini, setelah lima kali mencuba, Rafhely United akhirnya berjaya lolos ke Liga Pro Indonesia 2024/25 selepas mara ke pentas final Liga Nusantara yang merupakan liga divisyen 2.

Ia nyata bukan tugas mudah kerana hampir 800 pasukan dari seluruh Indonesia beraksi dalam saingan Liga Nusantara dimana hanya dua pasukan sahaja akan layak ke Liga Pro Futsal Indonesia.

Saingan Liga Futsal Pro Indonesia 2024/25 akan bermula pada 21 Disember ini dengan penyertaan pasukan seperti:

1. Bintang Timur Surabaya (BTS)

2. Blacksteel FC Papua

3. Kancil WHW Pontianak

4. Unggul FC Malang

5. Cosmo JNE Jakarta

6. Fafage Banua

7. Pendekar United

8. Halus FC Jakarta

9. Moncongbulo FC

10. Sadakata United

11. Kuda Laut Nusantara

12. Rafhely FC