Kapten Manchester United, Bruno Fernandes secara terbuka mempersoalkan pendekatan taktikal Michael Carrick selepas pasukan itu dibelasah 1-4 oleh Como dalam aksi Liga Juara-Juara.

Fernandes menyifatkan keputusan barisan kejurulatihan untuk tidak melakukan tekanan tinggi secara berterusan sebagai antara perkara yang membolehkan Como menguasai permainan dan membina keyakinan.

Menurut pemain tengah Portugal itu, United terlalu banyak memberikan ruang kepada lawan untuk mengawal bola sehingga menyukarkan usaha pasukan merampas semula penguasaan.

“Sudah tentu kamu boleh melakukannya, tetapi keputusan barisan kejurulatihan adalah untuk tidak melakukan tekanan seorang lawan seorang dan kadangkala membiarkan sedikit ruang di belakang sambil cuba mendapatkan bola,” katanya.

“Namun, apabila kamu terlalu banyak memberikan bola kepada pasukan seperti ini, mereka akan semakin yakin.”

Fernandes kemudian menegaskan bahawa United perlu lebih berani ketika berdepan tekanan dengan mengambil risiko melakukan tekanan tinggi bagi mengganggu rentak permainan lawan.

Apabila ditanya secara langsung sama ada Carrick melakukan kesilapan dari sudut taktikal, Fernandes menjawab bahawa perkara itu perlu dinilai oleh pengurus dan barisan kejurulatihan, bukannya dirinya.

Kenyataan itu dilihat sebagai teguran terbuka terhadap pendekatan Carrick, khususnya apabila United gagal menghalang Como daripada mengembangkan permainan mereka.

Bagaimanapun, Carrick mempertahankan keputusan taktikalnya selepas perlawanan. Pengurus United itu menjelaskan bahawa pasukannya pernah cuba melakukan tekanan secara lebih agresif pada separuh masa kedua, tetapi mereka dibolosi ketika menggunakan pendekatan tersebut.

Carrick turut mengingatkan bahawa apa jua sistem yang digunakan tidak akan berhasil sekiranya pemain gagal memberikan komitmen untuk bergerak ke hadapan dan kembali membantu pertahanan.

“Kami sebenarnya cuba melakukan tekanan [pressing] secara satu lawan satu pada separuh masa kedua dan kami dibolosi gol menerusi pendekatan itu. Tidak kira apa jua sistem atau taktik yang digunakan, kalau kamu tidak berlari ke depan dan tidak berlari untuk kembali bertahan, kamu memang tidak akan menang.”

Kekalahan ini menambah tekanan terhadap Carrick yang sedang bergelut membina prestasi konsisten bersama United pada awal musim 2026/27.