Legenda Manchester United, Paul Scholes, menyuarakan pandangan tegasnya bahawa Bruno Fernandes tidak boleh lagi dipercayai oleh mana-mana pengurus dan beliau patut meninggalkan bola sepak Eropah selepas mengkritik pengurus sementara United, Michael Carrick.

Fernandes mengeluarkan kenyataan selepas kekalahan 4-1 Manchester United kepada Como di Itali baru-baru ini, di mana beliau meluahkan rasa kecewa terhadap taktik yang digunakan oleh pasukan.

Dia berkata kepada TNT Sports, “Keputusan staf adalah untuk tidak menekan secara seorang lawan seorang dan kadang-kadang memberi ruang di belakang lalu cuba menunggu dan beri bola kepada mereka.

“Tetapi kadangkala bila beri bola terlalu banyak, pasukan lawan akan mendapat keyakinan, mereka ramai di belakang dan menyebabkan kami berlari banyak hingga menyebabkan frustrasi.”

Apabila ditanya sama ada Carrick membuat keputusan taktikal yang salah, Fernandes menjawab, “Itu terpulang kepada pengurus dan staf, bukan saya.”

Selepas kenyataan itu, Fernandes diletakkan di bangku simpanan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth yang berakhir dengan kekalahan 3-0 di Old Trafford.

Paul Scholes berasa tindakan Fernandes itu begitu tidak boleh diterima dan bukan sahaja kariernya di Manchester United harus berakhir, malah masa depannya dalam bola sepak Eropah turut terjejas.

“Apa yang Bruno Fernandes kata minggu lepas saya rasa tidak boleh dimaafkan. Bagaimana dia boleh dipercayai sebagai kapten di mana-mana pasukan selepas itu? Saya rasa dia perlu jauhkan diri dari bola sepak Eropah dan mungkin pergi ke Saudi saja,” kata Scholes dalam program The Good, The Bad and The Football.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Fernandes, Nicky Butt pula menyifatkan satu wawancara itu sahaja sudah cukup untuk merosakkan legasi hebat Fernandes di Manchester United.

“Kami puji kebolehannya selama ini, dia satu-satunya pemain dalam 12-13 tahun yang berani berkata dia faham apa makna main untuk kelab ini dan dia akan memikul tanggungjawab itu. Tetapi dengan satu wawancara bodoh ini, dia musnahkan dirinya sendiri.”

Masa depan Fernandes dan Carrick kini masih tidak pasti, lebih-lebih lagi selepas kemenangan Bournemouth yang menjadikan United sudah lapan perlawanan tanpa kemenangan.

Manchester United akan bertemu Chelsea pada hari Sabtu ini dan sama ada Carrick masih akan menerajui pasukan atau Fernandes akan diturunkan masih belum pasti.