Tular sebuah video di mana seorang lelaki berbaju melayu telah bertindak kurang ajar apabila memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan Deepavali atau kolam di Hospital KPJ Healthcare, di sini baru-baru ini.

Video yang berdurasi beberapa saat itu mulanya tular di TikTok, sebelum ia dimuat naik di Twitter. Tindakan lelaki itu dikecam oleh warganet dari pelbagai latar.

Baca Juga:

Tindakan lelaki itu memijak kolam deepavali turut mendapat reaksi balas dari KPJ yang mengakui bahawa lelaki yang tidak menghormati adat budaya agama lain tersebut adalah pekerja mereka.

Tambahnya lagi, satu siasatan bakal dijalankan dan KPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana kelakuan yang boleh mengganggu gugat keharmonian kaum di Malaysia.

Manakala Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, lelaki terbabit yang dipercayai kakitangan hospital berkenaan akan dipanggil pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku dan menghindari tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara