Buat pertama kalinya, Malaysia telah mengatasi Indonesia sebagai pasaran kereta terbesar di Asia Tenggara.
Memetik Kompas.com, situasi ini berlaku seiring dengan Vietnam yang mempercepat usaha untuk mengatasi Filipina, meletakkan diri sebagai pasaran keempat terbesar di ASEAN.

Pasaran kereta di Thailand menunjukkan pemulihan, manakala pengeluar kereta Jepun pula terus mengundurkan diri secara berperingkat dari rantau ini.
Pada suku kedua 2025, Malaysia berjaya mengatasi Indonesia sebagai pasaran kereta terbesar di ASEAN, meskipun mempunyai populasi yang jauh lebih kecil.
Perubahan ini mencerminkan tren pertumbuhan dalam pasaran kereta ASEAN, dengan jualan di Thailand dilaporkan mencecah 707,055 unit, sedikit menurun 1 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data daripada Nikkei Asia.
Tren ini menandakan dinamik baru dalam pasaran automotif di rantau Asia Tenggara.
Kereta buatan tempatan jadi kunci utama

Walaupun berdepan dengan ketidakpastian ekonomi di ASEAN, pasaran kereta Malaysia terus didorong oleh jenama tempatan seperti Perodua dan Proton.
Kedua-dua jenama ini menyumbang sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan jualan pada separuh pertama tahun 2025.
Model-model popular seperti Perodua Alza dan Proton Saga mendominasi carta jualan teratas. Jenama antarabangsa seperti Toyota Vios dan Honda City turut popular.
Kejayaan pengeluar tempatan ini disokong oleh syarikat antarabangsa, iaitu Daihatsu (anak syarikat Toyota) dan Geely (pemegang 49.9 peratus saham Proton).
Peningkatan populariti kenderaan elektrik (EV) dan kereta hibrid turut menjadi salah satu faktor pendorong utama pertumbuhan pasaran kereta di Malaysia.
Indonesia menghadapi tekanan ekonomi

Walaupun mempunyai populasi yang besar, Indonesia sedang menghadapi tekanan ekonomi. Jualan kereta pada Jun 2025 menurun sebanyak 21 peratus, penurunan yang signifikan sejak Mac 2024. Hal ini berpunca daripada melemahnya kuasa beli golongan pertengahan dan syarat kredit pengguna yang lebih ketat.
Penurunan ini menyebabkan jumlah keseluruhan jualan pada suku kedua 2025 jatuh sebanyak 12 peratus.
Perkembangan lain
Jualan kenderaan elektrik (EV) meningkat sebanyak 91 peratus tahun ke tahun, mencecah 12,733 unit. Sementara itu, jualan kereta hibrid pula meningkat sebanyak 12 peratus, mencapai 17,480 unit pada separuh pertama tahun 2025.
Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia menunjukkan penurunan ketara dalam golongan kelas menengah, dari 21.4 peratus pada tahun 2019 kepada 17.1 peratus pada tahun 2024. Perubahan ini memberi kesan besar kepada industri automotif dan sektor lain yang bergantung kepada kuasa beli golongan ini.