Ikon bola sepak Itali, Gianluigi Buffon membuka cerita mengenai detik paling kontroversi dalam sejarah Piala Dunia, sambil berseloroh mendakwa dirinya bertanggungjawab atas ‘hilang kawalan’ Zinedine Zidane dalam final 2006.

Penjaga gol legenda itu percaya aksi cemerlangnya di gawang telah memberi tekanan hebat kepada ikon Perancis tersebut sebelum insiden tandukan mengejutkan ke atas Marco Materazzi.

Menurut sumber laporan The Guardian, Buffon mengimbas kembali final Piala Dunia 2006 serta peranannya dalam insiden kad merah yang melibatkan maestro Perancis itu.

Buffon Imbas Detik Final 2006

Beberapa detik sebelum insiden tandukan yang terkenal itu, penjaga gol Itali tersebut melakukan satu aksi menyelamat bertaraf dunia untuk menafikan tandukan deras Zidane yang dilihat hampir pasti menghasilkan gol.

“Saya masih ingat dengan jelas,” kata Gianluigi Buffon.

“Apabila Zinedine Zidane menanduk bola itu, dia melakukannya dengan kekuatan luar biasa dan sedikit ‘kekasaran’. Seolah-olah dia menyepaknya, bukan menanduk, kerana kelajuannya sangat tinggi.”

Zinedine Zidane
Kredit Foto: Bertrand GUAY / AFP

“Saya tahu dia yakin bola itu sudah menjadi gol. Jadi dia berasa kecewa apabila saya berjaya menepisnya, tetapi sebagai seorang juara hebat, saya percaya dia juga menghargai aksi menyelamat tersebut pada akhirnya.”

Ketika seluruh dunia tertumpu kepada bola, Gianluigi Buffon merupakan antara segelintir pemain yang menyaksikan pertelingkahan fizikal antara Zinedine Zidane dan Marco Materazzi.

Penjaga gol itu mengakui dia memainkan peranan penting dalam memastikan pegawai perlawanan mengambil tindakan terhadap legenda Real Madrid tersebut selepas penjaga garisan terlepas pandang insiden awal.

“Saya berada kira-kira 15 meter dari situ dan saya boleh dengar bunyi hentakan itu,” jelas Buffon.

“Jika dia lakukan perkara itu kepada orang lain, mungkin mereka sudah pengsan. Penjaga garisan tidak nampak. Satu-satunya yang menyaksikannya adalah saya.”

“Jadi saya berlari ke arah pengadil dan pembantunya untuk menarik perhatian mereka. Materazzi terbaring di atas padang, Zidane kaku, saya membantah, dan akhirnya perlawanan dihentikan.”

Apabila ditanya mengenai insiden penuh kecoh itu, bekas penjaga gol Juventus tersebut berseloroh: “Ini salah saya.”

Pada aksi final di Munich tersebut, Zidane membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi sepakan penalti tetapi Materazzi menyamakan kedudukan pada minit ke-19.

Itali akhirnya muncul juara selepas menang dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 5-3.

Sumber