Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa rampasan 521 kilogram dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Laos baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang, Laos tanpa membawa sebarang muatan kargo sebelum bekalan dadah berkenaan dimuatkan setibanya di sana, petik Berita Harian.

“Dadah yang dirampas itu untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya Malaysia.

“Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo. Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, PDRM dimaklumkan oleh pihak berkuasa Laos berhubung kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan dadah rentas sempadan berskala besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang yang berlaku pada 1 Oktober lalu.

Jet peribadi berkenaan pada asalnya membawa tiga individu dari Lapangan Terbang Subang iaitu juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia, serta seorang penumpang warga Filipina, sebelum mendarat di Luang Prabang kira-kira jam 11.30 pagi.

“Kira-kira jam 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di lapangan terbang dan beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat.

“Pemeriksaan terhadap beg terbabit membongkar penemuan 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521kg,” katanya.

Ekoran rampasan itu, pihak berkuasa Laos menahan seramai 13 individu bagi membantu siasatan, termasuk tiga kru pesawat berkenaan, tiga pekerja syarikat pengendalian darat, dan tujuh kakitangan lapangan terbang Laos yang bertugas di mesin pengimbas X-ray.

Beliau berkata, PDRM akan menghantar pegawai JSJN ke Laos untuk menjalankan sesi temu bual serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket terbabit, khususnya bagi mengenalpasti sebarang kaitan dengan rangkaian dadah di Malaysia.

Sumber