Sebentuk cincin bernilai bernilai lebih $800,000 (RM3.73 juta) milik seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang didakwa dicuri Jumaat lalu di hotel Ritz di Paris, kini sudah berjaya ditemui.
Hotel berkenaan melaporkan bahawa pihak keselamatannya menemui cincin berkenaan di dalam beg pembersih vakum.
Baca Juga:
- Proton Wira Paling ‘Dicari’ Pencuri, Rekod Kes Kecurian Tertinggi
- Malaysia Merekodkan Satu Kes Kecurian Kenderaan Setiap 1 Jam 15 Minit
Memetik laporan Le Perisien, pengawal keselamatan hotel menemui cincin itu bersama habuk di dalam pembersih hampagas pada Ahad lalu.
Tambah akhbar itu, tetamu tersebut pergi ke London pada Jumaat, tetapi kini akan kembali ke Paris untuk mendapatkan semula cincinnya.
The Ritz berkata mereka telah menawarkan tiga malam penginapan tambahan kepada tetamu itu atas kesulitan yang berlaku, bagaimanapun usahawan tersebut tidak berhasrat untuk menerima tawaran berkenaan.
Dalam satu kenyataan kepada Le Perisien, hotel itu berkata mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang begitu teliti sehingga berjaya menemui cincin tersebut.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Ritz Paris yang menggerakkan pencarian ini dan yang bekerja setiap hari dengan integriti dan profesionalisme,” katanya lagi.
Terdahulu, ahli perniagaan itu memberitahu polis bahawa dia meninggalkan cincin di atas meja di bilik hotelnya pada hari kejadian ketika beliau pergi membeli-belah di bandar selama beberapa jam, dan apabila pulang semula, cincin itu didapati sudah hilang.
Kini polis menjaga cincin itu sehingga wanita itu mendapatkan semula. Walaupun penemuan ini dilihat tidak mencukupi dan menghilangkan keraguan mengenai apa yang berlaku, namun pihak hotel menyatakan pelanggannya menyambut baik dengan berita itu.