Beberapa hari lalu, seorang peniaga, Rafidi Asnan meluahkan rasa kecewa apabila konsep kedai makan miliknya, Mee Warisan ditiru bulat-bulat oleh penyewa kedai sebelah.

Wakil Vocket, Intan Zulsyawani telah ke kedai makan tersebut untuk bertemu dengan saudara Rafidi dan mendengar kisah yang terjadi daripada tuan punya badan sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kedai jadi tarikan kerana menu yang lain daripada yang lain di Kelantan

Bila pergi ke Kelantan, pastinya menu utama yang menjadi pilihan ramai ialah tom yam. Oleh itu, timbul idea daripada pasangan suami isteri, Rafidi Asnan dan Siti Ainsah yang memilih untuk berniaga Mee Kicap yang boleh dikatakan jarang dijual di ibu negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Kedai Mee Warisan bermula dari bawah; dulu hanya ada seorang dua pelanggan dan kini sudah pun mempunyai pelanggan tetap.

Namun, mereka tidak pernah menyangka penyewa baharu di sebelah kedai mereka; buka kedai makan dengan signboard hampir 100% sama menyerupai identiti dan look kedai Mee Warisan.

Walaupun ada sesetengah netizen yang merasakan itu hanyalah marketing untuk kedai mereka lebih dikenali, tetapi bukan itu yang berlaku.

“Kedai kami dah banyak kali tular. Kira memang ramai makan di sini. Kebetulan, ada individu ni berminat nak buka kedai di sebelah. Jadi, dia berminat untuk buka kedai kopi. Dia ada tanya kami okay tak kalau dia buka waktu pagi.

“Kami tak ada masalah sebab kami buka pun tengah hari cumanya dia kata nak guna nama kedai ‘Kopi Warisan’ (kedai kami nama Mee Warisan) sebab tak ada idea untuk nama kedai.

“Mulanya kami memang okay sebab kami rasa tak ada masalah nak guna nama ‘Warisan’. Berapa hari lepas tu, naik signboard sama dengan kedai kami. Nama syarikat pun lebih kurang hingga mengelirukan ramai orang. Sampaikan ada yang mengucapkan tahniah kepada kami kerana menyangka itu kedai baharu kami,” tambah Rafidi.

“Di Kelantan ramai orang jual emas, kalau pergi bandar memang penuh kedai emas, sebelah-sebelah pulak tapi tak ada pula buat signboard yang sama,” celah isterinya, Siti atau lebih selesa disapa Cah.

“Kami rasa terkilan sebab macam tidak logik dia tidak tahu mengenai etika perniagaan lebih-lebih lagi tentang identiti kedai kerana individu berkenaan sudah pun mempunyai beberapa kedai & klinik di sekitar Kota Bharu,” tambah Rafidi.

Bukan itu sahaja, individu berkenaan turut menawarkan yang stafnya akan buat servis kutip pinggan mangkuk & ‘tolong’ ambilkan pesanan untuk kedai Mee Warisan.

Bukan pertama kali berlaku

Kejadian menumpang populariti Mee Warisan ini bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini, situasi sebegini sudah terjadi oleh peniaga lain yang pernah menyewa di lot sebelah.

Pada mulanya setuju untuk membenarkan pelanggan Mee Warisan menumpang makan di kedainya (peniaga menjual menu lain). Kemudian, staf di kedai sebelah mula bermasam muka kerana jualan mereka tidak laku dan pelanggan pula banyak singgah untuk makan Mee Warisan sahaja.

Bila ditanya Rafidi mengenai respons penyewa selepas hantaran di Facebooknya viral, Rafidi berkata sehingga ke hari ini, penyewa berkenaan berdiam sahaja dan tiada permohonan maaf pun dibuat (walaupun selepas menukar signboard kedai).

Buat pengetahuan umum, Rafidi dan isteri lebih selesa berniaga secara kecilan dan tidak mahu kedainya terlalu tular kerana takut tidak cukup tangan melayan pelanggan. Cukup sekadar dapat sedikit untung setiap hari, mereka sudah puas hati.

Pada masa yang sama, Rafidi bukan seorang yang kedekut ilmu dalam bidang bisnes namun telah diambil kesempatan oleh individu yang pandai ‘berbisnes’. Nasihat Rafidi untuk orang yang ingin memulakan perniagaan ialah bina jenama sendiri dan jangan biar orang lain ambil kesempatan dan kita juga jangan ambil kesempatan terhadap orang lain.