Pada hari ini tular satu klip video menunjukkan dua lelaki melarikan diri daripada kereta peronda polis.

Insiden yang dikatakan berlaku di Kampung Bukit Kapar, Klang itu telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

Baca Juga:

Ramai mengatakan kejadian itu melibatkan dua peragut cuba melarikan diri.

Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi Polis Daerah Klang Utara menyatakan sebaliknya.

Menerusi kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Klang Utara, siasatan awal mendapati bahawa kedua-dua lelaki itu merupakan warga asing dan cuba melarikan selepas diarah memberhentikan kenderaan.

“Pada 2 Mei 2024, jam 1 tengah hari, semasa MPV bertugas rondaan cegah jenayah kawasan Meru telah terserempak sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki dua lelaki di lampu isyarat jalan pasar malam dalam keadaan yang mencurigakan.

“MPV menghampiri dua lelaki tersebut dan mengarahkan menghentikan motosikal yang dinaiki, namun dua lelaki tersebut melarikan diri. MPV mengejar dan berjaya menahan motosikal tersebut.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki tersebut mendapati kedua-duanya bukan warganegara tetapi mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiada membawa barang-barang yang menyalahi undang-undang,” petik kenyataan rasmi itu.

Pihak polis telah mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal kerana tidak mempunyai lesen memandu.